suria

Kerjasama Antara UiTM Dan Universiti Ohio Imbau Kenangan Bersama Tun Abdul Razak

PETALING JAYA: Satu kunjungan khas daripada Universiti Ohio, Amerika Syarikat bersempena majlis syarahan dan jamuan tengahari akan diadakan bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Abdul Razak sepanjang penglibatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Kedua.

Dalam satu kenyataan rasmi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata majlis ini dianjurkan sebagai platform kepada seluruh warga UiTM untuk lebih mengenali dan menghargai jasa yang ditabur oleh keluarga Tun Abdul Razak dalam memajukan negara yang kini legasinya disambung oleh anak beliau sendiri iaitu Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Kata kenyataan itu lagi, UiTM turut menjemput seorang speaker dari Universiti Ohio iaitu Dr. William I. Brustein, Naib Ketua Bahagian Perancangan Global dan Hal Ehwal Antarabangsa untuk menyampaikan syarahan.

Majlis yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri itu, turut akan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat bekas Perdana Menteri kedua itu selain Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib-naib Canselor universiti tempatan dan tetamu khas.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, majlis itu turut diadakan bagi merapatkan lagi silaturrahim antara pihak Universiti Ohio dengan alumninya yang pernah menuntut di universiti tersebut.

Malah, majlis itu diadakan untuk memberi peluang kepada kedua-dua buah universiti untuk berkongsi idea dan bertukar-tukar pendapat dalam menaikkan taraf pendidikan di negara masing-masing.

Majlis yang bakal berlangsung pada 30 September ini diharap dapat memberi pendedahan kepada para penuntut UiTM khususnya untuk mendapatkamn maklumat mengenai kelebihan yang ada sama ada menuntut di dalam atau di luar negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain