suria

MARA Akan Lancar Program 'English Everyday' Di MRSM

BESUT: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengadakan program 'English Everyday' di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara sebagai usaha memantapkan penggunaan bahasa itu di kalangan pelajarnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata usaha itu dilakukan dalam memastikan setiap pelajar MRSM akan menguasai bahasa Inggeris pada tahap yang maksima untuk kegunaan dalam perbualan seharian dan juga menguasai ilmu.

"Majlis pelancaran program berkenaan akan diadakan pada 3 Oktober depan yang akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Anggota Parlimen Jeli di MRSM Jeli," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya antara pengisian program itu termasuk memberi anugerah dan insentif setiap bulan kepada pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata sebuah lagi MRSM Ulul Albab akan diwujudkan menjelang awal tahun depan, merupakan yang ketiga selepas MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Gemenceh di Negeri Sembilan.

Katanya MRSM Ulul Albab yang ketiga akan dibuka ialah di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Idris berkata sejak MRSM Ulul Albab diwujudkan pada tahun 2009, banyak permintaan diterima dari orang ramai supaya ianya diperkembangkan di setiap negeri yang mempunyai MRSM.

Katanya setakat ini didapati hampir 80 peratus daripada pelajar Tingkatan 1 dan 2 di MRSM Ulul Albab yang telah diwujudkan itu telah berjaya menghafaz al-Quran antara 15 hingga 30 juzuk. - BERNAMA

Artikel Lain