suria

Malaysia Dan China Bakal Meterai MRA Mengenai Ijazah Pendidikan Tinggi

BEIJING: Malaysia dan China akan memeterai Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) mengenai ijazah pendidikan tinggi tidak lama lagi sebagai pemangkin ke arah peningkatan program pertukaran pelajar.

Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin berkata dengan mengiktiraf ijazah dari universiti China, maka ia memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar Malaysia dalam bidang pengajian seperti sains nuklear, kejuruteraan aero angkasa, automatif dan teknoloji lanjutan.

"Selain itu, ia juga dapat menarik lebih ramai pelajar China ke Malaysia," katanya dalam temubual khas dengan Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, perjanjian MRA itu kini dimuktamadkan.

Iskandar mengulas usaha kerajaan menarik lebih ramai pelajar China ke Malaysia apabila menyentuh hasil kajian yang menunjukkan penurunan bilangan pelajar China mengikuti pengajian di Malaysia, mulai tahun ini.

Katanya baru-baru ini menteri pengajian tinggi kedua-dua negara itu membincangkan cadangan supaya universiti China menubuhkan kampus mereka di Malaysia dan usaha itu di peringkat susulan.

Iskandar berkata pada hakikatnya beberapa universiti swasta Malaysia seperti Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing telah membuka kampus cawangan di China dan juga memperkenalkan program kembar dengan universiti tempatan di sini.

Katanya universiti China merancang untuk mengembang secara global manakala Malaysia sudah membuka sektor pendidikan tinggi kepada dunia luar dengan membolehkan banyak universiti menubuhkan cawangan kampus.

Dalam perkembangan lain, Iskandar berkata lebih banyak produk pertanian khususnya buah durian akan menerokai pasaran China tidak lama lagi.

Katanya pegawai Kementerian Pertanian China telah melawat Malaysia baru-baru ini bagi melakukan kajian mengenai produk pertanian di Malaysia dan mereka dijangka mengeluarkan hasil kajian itu dalam masa terdekat ini.

Sebaik produk pertanian Malaysia dapat memasuki pasaran China, sudah tentu wujud potensi besar bagi pengeluar hasil pertanian kita, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain