suria

Program di Kolej Komuniti Ditambah Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Program di Kolej Komuniti akan ditambah kepada sekurang-kurangnya 120 pada tahun hadapan daripada 52 program sekarang berikutan permintaan yang tinggi untuk menyertai kolej itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata selain memberi peluang kepada mereka yang kurang cemerlang dan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kolej Komuniti juga dibuka kepada mereka yang telah menceburi sektor pekerjaan tanpa sebarang kemahiran.

"Mereka yang bekerja tanpa mempunyai ilmu dan kemahiran atau mereka yang sudah bekerja yang ingin menambah baik kedudukan mereka, maka Kolej Komunitilah merupakan institusi yang menjadi instrumen yang dapat memenuhi hasrat mereka yang selama ini tertinggal, tercicir atau tidak mendapat peluang," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Kolej Komuniti Selayang di sini hari ini, Khaled berkata kementerian sedang berusaha untuk memantapkan program di Kolej Komuniti di seluruh negara agar ia benar-benar memberi faedah kepada masyarakat setempat.

"Dalam negara kita, instrumen untuk memberi ilmu ini bukan sahaja terletak kepada institusi seperti universiti atau politeknik, baik awam mahupun swasta, tetapi kerajaan wujudkan Kolej Komuniti sebagai satu institusi, satu instrumen bagi mengupayakan masyarakat bagi ditentukan mereka berpeluang untuk mendapat ilmu dan pengetahuan serta kemahiran," katanya.

Kolej Komuniti kini mempunyai 18,200 pelajar di seluruh negara.

Hanya Kolej Komuniti Selayang yang menawarkan kursus Sijil Kemahiran Khas Hotel dan Katering kepada pelajar pekak dan bisu dengan 39 orang sedang mengikuti pengajian pada masa ini -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain