suria

Penuntut Digalak Bina Jaringan Hubungan Jamin Survival Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Penuntut Malaysia di luar negara dinasihatkan untuk membina jaringan perhubungan dengan rakyat tempatan di negara itu bagi menjamin kelangsungan hidup di tempat orang, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kelab Umno Luar Negara berkata walaupun perkara itu bukan mudah untuk dilakukan kerana budaya, bahasa dan persekitaran yang berbeza, penuntut perlu yakin untuk membina hubungan terutama dengan bakal pemimpin dan cerdik pandai dari negara asing.

"Ramai pelajar Malaysia yang bila ada satu kumpulan, mereka tidak campur orang. Bila balik, tak ada kawan dari luar negara. Itulah cabaran paling besar untuk bina rangkaian dan survival di luar negara," katanya ketika berucap merasmikan Program Pra-Berlepas bagi penuntut yang akan melanjutkan pelajaran ke Rusia di sini, Khamis.

Katanya selain daripada belajar dan mengejar gred terbaik, penuntut juga berperanan sebagai duta kecil yang memperkenalkan Malaysia di luar negara.

Ahmad Shabery berkata penuntut harus mengambil iktibar dengan pelajar asing lain yang terlibat dengan banyak gejala negatif di negara ini, dan menjaga nama baik Malaysia semasa berada di negara orang.

"Kita tidak mahu apabila Malaysia menjadikan pendidikan sebagai satu industri dan ramai pelajar asing datang ke sini, tetapi mereka dikenali kerana sebab yang tidak baik, menjadikan negara juga dikenali kerana sebab yang tidak baik," katanya yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Ahmad Shabery turut menyarankan agar penuntut menggunakan perbezaan-perbezaan yang wujud sebagai satu kelebihan untuk menjadikan diri lebih dikenali.

"Paling penting, jangan lupakan Malaysia. Mungkin ada perbezaan, mereka mungkin kasar tetapi anda hendaklah bangga menjadi rakyat Malaysia kerana kita ada cara kita untuk tangani konflik," katanya.

Seramai 98 orang pelajar diraikan pada majlis hari ini yang kebanyakannya dari Pusat Pendidikan Antarabangsa (Intec) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Mereka dijangka berlepas ke Rusia pada 15 Sept ini. - BERNAMA

Artikel Lain