suria

USM Bangunkan Perisian Komputer Tingkatkan Prestasi Kelengkapan Bidang Perubatan

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membangunkan sejenis perisian komputer yang dapat menambah baik prestasi kelengkapan bidang perubatan sedia ada termasuk dalam aplikasi pengimejan resonans magnetik (MRI), sinar X dan imbasan tomografi berkomputer (CT-scan). Ketua penyelidiknya Prof Madya Dr M.Rajeswari berkata produk yang dikenali sebagai 'Extensible Medical Image Analysis and Visualization Platform' (Endeavor) itu bakal memberi manfaat besar kepada sebilangan besar pesakit yang memerlukan rawatan segera khususnya membabitkan pengimejan dan diagnostik.

Katanya 'Endeavor' berupaya menghasilkan ketepatan diagnosis penyakit berdasarkan kepada kebolehannya memaparkan imej perubatan dengan lebih jelas dan spesifik.

"Endeavor dapat memaparkan imej lebih jelas termasuk ke atas tisu-tisu lembut seperti sel kanser. Sebelum ini paparan imej jelas kebanyakannya hanya melibatkan tisu keras seperti tulang dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan Naib Canselor USM Prof Tan sri Dzulkifli Abdul Razak dan Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK), Prof Rosni Abdullah serta pensyarah yang terlibat Prof Dr Ibrahim Lutfi Shuaib, Prof Madya Dr Mohd. Ezane Aziz, Prof Madya Dr Bahari Belaton. Rajeswari yang merupakan pensyarah di USM berkata produk itu turut membolehkan pengamal perubatan membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat kerana keupayaan 'Endeavor' dalam memberi laluan kepada perbincangan maya melibatkan ramai pakar dari lokasi yang berbeza.

"Jika dulu proses membuat keputusan terhadap seseorang pesakit agak lama, khasnya jika melibatkan perundingan lebih dari seorang pakar perubatan, namun dengan wujudnya 'Endeavor', proses tersebut dapat dipercepatkan.

"Ia sekaligus membolehkan pesakit mengetahui dan memahami keputusan ujian yang dijalani dengan lebih baik dan mendapatkan rawatan dengan segera," katanya.

Katanya 'Endeavor' merupakan gabungan unik penyelidikan di antara PPSK USM dengan institusi perubatan USM termasuk Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan.

Beliau berkata gabungan unik itu membolehkan negara mempunyai platform tersendiri yang berfungsi sebagai alat untuk menyedia, memuat turun, memapar, memproses, menganalisis dan memvisualisasi pelbagai imej perubatan dengan lebih tepat.

Keupayaan lain Endeavor ialah ia boleh digunakan di mana-mana termasuk di luar bandar kerana aplikasinya tidak rumit dan boleh dimuat turun terus kepada komputer para pengamal perubatan, katanya.

Rajeswari berkata penyelidikan 'Endeavor' telah dibangunkan secara intensif sejak tiga tahun lepas dengan kos pembiayaan di bawah peruntukan geran universiti penyelidikan bernilai RM 500,000. - BERNAMA

Artikel Lain