suria

Anak VC UM Terima Ijazah Daripada Bapa Sendiri

KUALA LUMPUR: Senyuman bangga jelas terpancar dari wajah Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Ghauth Jasmon ketika menyampaikan sendiri ijazah kepada anaknya pada istiadat konvokesyen UM bagi sesi kelapan hari ini.

Sementara anaknya itu Sakinah tidak mampu mengikis perasaan gementar meskipun berhadapan bapanya sendiri apabila berada di atas pentas untuk menerima ijazahnya.

Beliau adalah antara 585 graduan yang dianugerahkan ijazah dan diploma pada sesi tersebut.

Merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu, Sakinah menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan.

"Perasaan gementar pasti ada apabila ayah sendiri di atas pentas menganugerahkan ijazah kepada saya," katanya ketika ditanya perasaannya menerima ijazah daripada bapanya sendiri.

Namun Sakinah, anak perempuan tunggal dalam keluarga itu berkata beliau merasa amat gembira kerana telah dapat memenuhi harapan dan impian ibu bapanya.

Beliau kini bertugas di bahagian Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Antara yang turut menerima ijazah ialah pasangan kembar, Lau Suk Chin dan Lau Suk Lee, yang menerima Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan.

"Kami memang sentiasa bersama dan sebelum ini telah memohon memasuki matrikulasi dan universiti yang sama bidang pengajiannya," kata Suk Lee.

Mereka kini sedang menunggu tawaran untuk mengajar.

Sementara itu sedikit kelainan ditunjukkan oleh para graduan dari Pusat Kebudyaan UM apabila melakukan gaya tarian tersendiri semasa menerima transkrip ijazah daripada Ghauth.-BERNAMA

Artikel Lain