Progam Diploma Lanjutan Sambil Belajar Bagi Pekerja Proton

Diterbitkan: Selasa, 6 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam program pengajian Diploma Lanjutan Reka Bentuk Automotif dan Kejuruteraan Pembuatan bagi membolehkan para pelajar mengikuti program "belajar sambil bekerja" di syarikat pembuat kereta nasional itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata program diploma itu mengambil tempoh tiga semester, di mana para pelajar akan berada di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang, Perak pada semester pertama dan kemudian meneruskan pengajian di Proton bagi sesi semester kedua dan ketiga.

"Pendedahan yang diberikan kepada para pelajar ini bukan saja berkesan dalam menghasilkan graduan yang menyeluruh dari segi kemahiran dan juga pengetahuan serta pada masa yang sama mereka memiliki pengalaman 'hands-on' yang relevan dalam memenuhi permintaan dan keperluan industri yang diceburi pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjanjian persefahaman antara Proton dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta pelancaran program Diploma Lanjutan Reka Bentuk Automotif dan Kejuruteraan Pembuatan hari ini.

Syed Zainal Abidin berkata objektif utama program pengajian itu adalah untuk memberikan para pelajar pendedahan komprehensif terhadap industri pembuatan kenderaan, di mana 50 peratus daripada proses pembelajaran akan tertumpu kepada kemahiran mereka bentuk manakala selebihnya melibatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pembuatan automotif.

Program itu melibatkan bukan saja para pensyarah dari bahagian politeknik tetapi juga tenaga pengajar dari kalangan para pekerja Proton.

"Sebagai sebuah organisasi yang telah diamanahkan untuk mempelopori industri automotif Negara dan membawanya terus ke hadapan, kerjasama ini memberi peluang kepada Proton menyumbang ke arah pembangunan modal insan Negara, selaras dengan perlaksanaan Model Baru Ekonomi yang berteraskan teknologi, inovasi dan kreatif," katanya.

Beliau berkata Proton telah memperuntukkan RM250,000 untuk pengambilan pertama program diploma lanjutan itu.

Program diploma itu yang menggunakan pendekatan Pembelajaran Melalui Berkerja ditawarkan di Politeknik Sultan Azlan bermula Jun tahun ini.

Pengambilan pelajar akan diadakan dua kali setahun, pada Jun dan Disember dan jumlah pengambilan adalah seramai 30 orang bagi satu sesi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan