suria

Transformasi Pengajian Teknologi Hijau Dua Tahun Lagi

SHAH ALAM: Satu transformasi akan dilakukan terhadap kesemua bidang pengajian di politeknik dengan menggunakan pakai teknologi hijau iaitu berkonsepkan mesra alam sekitar dalam tempoh dua tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Imran Idris.

Beliau berkata transformasi itu akan dilakukan dalam beberapa fasa termasuk mengkaji dan menambah baik kurikulum dalam semua bidang pengajian dengan memasukkan elemen teknologi hijau seperti dalam sektor tenaga, bangunan, pengangkutan dan pengurusan air serta sisa buangan.

"Selain menambah baik kurikulum bidang pengajian sedia ada, beberapa program baru akan diperkenalkan yang berteraskan kemahiran bidang teknologi hijau sejajar dengan seruan kerajaan dan kehendak industri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknologi Hijau anjuran Jabatan Pengajian Politeknik di sini hari ini.

Imran berkata Jabatan Pengajian Politeknik mampu melakukan transformasi itu kerana berdasarkan kursus yang ditawarkan, kesemua bidang berkenaan saling berhubung kait dengan teknologi hijau.

"Pelajar lepasan diploma dari politeknik akan mempunyai peluang pekerjaan yang lebih tinggi memandangkan kebanyakan syarikat hari ini mula mementingkan elemen teknologi hijau dalam operasi mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain