suria

UMS Antara Universiti Terunggul

KOTA KINABALU: Ia bermula dengan sebuah impian. Lebih kurang 13 tahun lepas, seorang gadis dari Pulau Pinang mengimpikan kerjaya sebagai seorang pakar pemakanan.

Hari ini, Dr Yasmin Ooi Beng Houi, 33, lebih daripada seorang pakar pemakanan. Beliau kini memegang ijazah doktor falsafah dan merupakan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebuah universiti muda yang semakin berkembang di Malaysia.

Ketika berusia 20 tahun, Dr Ooi memulakan pengajian di UMS yang baru diwujudkan dalam bidang sains makanan dan pemakanan yang merupakan kursus pilihan pertamanya.

Beliau dalam kumpulan pertama sisawazah UMS, universiti awam ke-sembilan di Malaysia, yang terletak di pinggir bandar raya Kota Kinabalu dan diasaskan pada 24 Nov 1994.

Universiti Pertama Di Malaysia Timur

Segala-galanya merupakan pengalaman pertama bagi Dr Ooi setelah menjejak kaki ke negeri di bawah bayu ini.

Ketika itu merupakan pertama kali beliau berada di Malaysia timur, ditambah lagi menjadi antara pelajar perintis kursus sains makanan dan pemakanan selama tiga tahun di kampus sementara di Sembulan, dekat sini.

Terdapat 46 pelajar lain yang mengikuti kursus yang sama dalam kumpulan beliau.

"Walaupun saya berasal dari Semenanjung, saya tidaklah merasa terasing atau disisihkan malah ramai kawan saya dari Sabah dan Sarawak... kami belajar bersama dalam keadaan aman dan harmoni seperti sebuah keluarga.

"Tidak hairanlah Sabah dianggap sebagai `role model' konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan nasional.

"Masa saya belajar, ada juga cabaran menjadi pelajar perintis kerana bangunannya belum siap. Sudah tentu terdetik di hati 'alamak, saya memang pilih UMS. Tetapi adakah saya tersilap pilih?

Dr Ooi berkata perasaan risau terhadap masa depannya di UMS perlahan-lahan hilang dalam semester pertama kerana komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pensyarah.

Dulu dan Sekarang

Begitu juga, kata Dr Ooi, persepsi orang ramai terhadap UMS pada ketika itu serupa persepsi umum terhadap sesuatu yang baru.

"Inilah tanggapan masyarakat secara umum dan perbandingan selalu akan dibuat. Sikap ini perlu dikikis," katanya.

Kini, Dr Ooi berkata tanggapan bahawa UMS kurang berkualiti sudah tidak ada.

Ini jelas dapat dilihat daripada jumlah permohonan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di universiti itu.

"Boleh dikatakan dalam dua tiga tahun kebelakangan ini, bilangan pelajar yang memohon untuk masuk UMS melebihi bilangan pelajar yang boleh kami ambil.

"Ini bermaksud pelajar-pelajar di Sabah, Sarawak dan Semenanjung sudah sedar bahawa program-program yang ditawarkan di UMS adalah bagus," katanya dan menambah kata kemudahan pembelajaran juga semakin baik dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

"Pihak UMS sangat mengambil berat agar kemudahan yang ditawarkan kepada pelajar kita tidak kurang daripada apa yang dirasai dan dinikmati oleh pelajar dalam bidang yang sama di IPTA lain," kata Dr Ooi.

Perbezaan dengan Institusi Lain

Sebagai seorang tenaga pengajar yang berpeluang mengajar di sebuah universiti terkemuka dunia, Dr Ooi berpendapat tiada perbezaan ketara antara penuntut luar negara dan di Semenanjung, apatah lagi di universiti muda seperti UMS.

Ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah di Universiti London, Dr Ooi berkata beliau menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar untuk pelajar siswazah.

"Saya dikehendaki memberi tutorial, membuat demonstrasi makmal dan mengajar. Cara pengajaran saya di sana dengan di sini tidak berbeza. "Kandungan teknikal pengajiannya juga tidak berbeza dan keupayaan pelajar kita secara keseluruhan dalam satu kelas tidak berbeza dengan keupayaan pelajar di sana.

"Sudah tentu dalam setiap kelas ada pelajar yang lemah, di sana pun ada. Ada juga pelajar yang tidak berinisiatif tinggi, di sana pun ada," jelasnya.

Pendapat ikhlas saya ialah kualiti kursus yang ditawarkan di UMS tidak berbeza dengan kualiti kursus yang sama di universiti luar negara.

Pencetus Minat Keusahawanan

Selain Dr Ooi, ada pelajar perintis yang menceburi bidang perniagaan selepas tamat pengajian di UMS.

Zalelawati Zaleana, yang merupakan pelajar perintis program teknologi maklumat dari Perak kini mengusahakan sebuah kafe.

Walaupun mempunyai kelulusan lain, minat keusahawanannya itu sebenarnya bermula semasa belajar di UMS.

"Sebagai pelajar perintis yang terpaksa mengikuti kuliah di bangunan yang disewa, sudah tentu kemudahan tidak cukup. Nak guna komputer pun kena bergilir-gilir," katanya ketika mengimbas kembali pengalamannya sebagai pelajar UMS.

Zalelawati dan suaminya Ahmad Ezahuddin Elias, 36, bekas pelajar kejuruteraan awam di UMS, menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk pelajar seperti perkhidmatan fotostat dan membaiki komputer.

"Kami berpeluang mengikuti pelbagai kursus keusahawanan semasa masih menuntut di UMS. Dari situlah minat untuk mengusahakan perniagaan sendiri diteruskan selepas tamat pengajian," kata Ahmad Ezahuddin.

Potensi Berniaga

Kampus utama UMS seluas 404 hektar menyimpan pelbagai potensi perniagaan, terutama dalam bidang pelancongan.

Bekas pelajar perintis program kejuruteraan fizik dan elektronik dari Keningau Kudus Alie Novel Mohamat Yunus, 36, yang membuka syarikat pelancongannya, Intrabuana Tour and Travel Sdn Bhd.

Beliau percaya UMS mampu ditampilkan sebagai satu daripada destinasi pelancongan di Sabah berikutan kedudukan kampus yang berhampiran laut dan struktur landskapnya yang hijau dan berbukit.

"Saya telah menghantar usul kepada pengurusan UMS untuk menjadikan UMS sebagai pelancongan kampus.

"Kampus UMS sangat luas. Banyak yang boleh dibuat. Kita boleh adakan aktiviti laut berhampiran Institut Penyelidikan Marin Boreno, perkhemahan, dan kawasannya yang luas juga boleh dibangunkan untuk aktiviti merentas hutan dan berbasikal," katanya.

Selain kemudahan yang tersedia di UMS seperti akuarium, taman botani, galeri dan muzium katak, Kudus Alie berkata bukit tertinggi di kampus berkenaan juga mempersembahkan keindahan alam semula jadi yang wajar dikongsi bersama orang ramai.

"Di puncak bukit itu cukup cantik pemandangannya ketika matahari terbenam. Ini juga boleh dijadikan tarikan pelancongan di UMS.

Homecoming 2010

Dr Ooi, Zalelawati, Ahmad Ezahuddin dan Kudus Alie adalah antara 24,549 alumni UMS yang dijangka kembali ke menara gading mereka dari 11-13 Jun ini untuk "Program UMS Alumni: Homecoming 2010".

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS Prof Madya Dr Kassim Md Mansur, alumni ialah satu daripada entiti penting yang berperanan dalam mengangkat prestij sesebuah universiti dan adalah struktur utama dalam memastikan kemasyhuran sesebuah universiti.

"Alumni UMS merupakan satu sumber yang boleh dimanfaatkan oleh universiti dengan harapan komuniti ini dapat menyumbang kepada kecemerlangan universiti ke mercu yang lebih tinggi seiring dengan visi, misi dan matlamat universiti," katanya.

Apa yang penting ialah kejayaan alumni UMS menembusi dunia pasaran kerja dan ini membuktikan bahawa UMS kini sudah maju ke hadapan, sekaligus turut menjadi sandaran negara untuk melahirkan modal insan berkualiti menjelang tahun 2020. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain