suria

Sarawak Harap Tambahan Sekolah Teknik Dalam RMK-10

KUCHING: Sarawak memerlukan tambahan beberapa lagi institusi kemahiran teknik sejajar dengan usaha untuk melahirkan lebih ramai anak tempatan yang berkemahiran bagi mengisi permintaan tenaga kerja dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) pada masa hadapan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata langkah itu juga adalah untuk memastikan anak tempatan Sarawak mendapat peluang kemahiran tinggi dalam bidang teknikal sekaligus mencapai hasrat kerajaan melaksanakan tranformasi ekonomi berpendapatan tinggi.

"Sarawak sudah mendapat perhatian yang cukup banyak daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) terutama dalam soal pembangunan luar bandar yang merangkumi projek infrastruktur.

"Namun pembangunan Score yang kini kian rancak memerlukan pekerja yang berkelayakan dalam kejuruteraan teknikal dan inilah yang akan kita laksanakan dalam RMK-10 (Rancangan Malaysia Kesepuluh)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas harapan Sarawak terhadap RMK-10 yang akan dibentang Khamis ini.

Beliau turut berharap lebih banyak projek yang mampu memberi sumber pendapatan baru kepada rakyat khasnya di luar bandar dilaksanakan dalam RMK-10.

Kerajaan negeri telah membuat beberapa perancangan, khasnya untuk kawasan di luar Score dan yakin ia boleh dicapai dengan adanya peruntukan daripada kerajaan pusat, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain