suria

Kolej Yayasan UEM Tawar Peluang Cukup Istimewa Kepada Lepasan SPM

KUALA LUMPUR: Kolej Yayasan UEM menawarkan peluang yang cukup istimewa buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di kolej itu, disebabkan tempatnya yang amat terhad dibuka buat pelajar setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM Mohd Azman Sulaiman berkata terdapat hanya 480 tempat dalam kolej tersebut ketika ini, dan pihaknya tidak merancang untuk menambah bilangan tempat itu bagi menjadikan ia lebih eksklusif.

"Pada setiap pengambilan, ada kira-kira 240 pelajar yang mendaftar, dan kira-kira 20 pelajar ditawarkan oleh Yayasan UEM sendiri, manakala selebihnya ditaja oleh badan-badan biasiswa seperti Petronas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mara dan lain-lain lagi, dan 30 peratus daripada jumlah pelajar di kolej ini adalah pelajar swasta," katanya dalam satu temubual di sini hari ini.

Sementara itu pengetua kolej itu Neil Sutherland berkata setiap tahun hampir 90 peratus daripada graduan Kolej Yayasan UEM, yang merupakan kolej A-Level, berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke United Kingdom.

Beliau berkata kebanyakan graduan kolej itu sama ada akan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom atau Amerika dan Australia sebagai alternatif.

"Kami ada tujuh atau lapan pelajar setiap tahun yang cemerlang dalam pengajian mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, Cambridge, London School of Business dan lain-lain universiti terkemuka pilihan mereka," katanya.

Sutherland berkata punca utama kejayaan mereka terletak kepada sistem pendidikan yang diamalnya.

"Ini adalah kolej di mana semua pelajar perlu belajar di dalam kampus dan kami bukan hanya memberi tumpuan kepada pendidikan semata-mata, tapi faktor yang menyeluruh," katanya.

Kolej yang dirangka mengikut model Winchester College dari United Kingdom itu akan menganjurkan sambutan Hari Anugerah tahunannya pada 19 Jun ini dengan 260 pelajar menamatkan pengajiannya, sempena sambutan ulang tahun ke-10 Yayasn UEM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain