suria

USM, Silterra Jalin Kerjasama Tambah Baik pengurusan Alam Sekitar

PULAU PINANG: Dalam usaha memelihara dan menambah baik pengurusan alam sekitar, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan kerjasama dengan SilTerra (M) Sdn Bhd (SilTerra) sebuah syarikat tempatan fabrikasi wafer berteknologi tinggi.

Timbalan Naib Canselornya, Datuk Omar Osman berkata, menerusi kerjasama itu membolehkan USM dan SilTerra bekerjasama dalam bidang penyelidikan selain menjalankan latihan dan pembangunan kepada sumber industri.

"Kerjasama ini juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan USM selepas menamatkan pengajian kelak," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USM dengan Silterra.

Memorandum itu ditandatangani antara Omar yang mewakili Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dengan Ketua Pegawai Eksekutif Silterra, Dr Kamarulzaman Mohamed Zin.

Kerjasama penyelidikan dalam bidang yang berkaitan dengan isu alam sekitar antara Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM dengan Silterra adalah secara berterusan.

"Situasi menang-menang antara USM dan Silterra juga memberi faedah kepada msyarakat umum, diharapkan dengan adanya kerjasama dalam penyelidikan ini akan diteruskan di masa akan datang," kata Omar. - BERNAMA

Artikel Lain