suria

Ulama Patut Galak Perpaduan Bukan Jadi Benih Perpecahan - Pengarah UiTM

KOTA BAHARU: Kecenderungan ulama masa kini terlibat dalam politik sehingga timbul kesangsian terhadap mereka adalah antara faktor golongan ini tidak lagi dipandang tinggi oleh masyarakat, kata Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Datuk Prof Hussin Abdul Rahman.

Sambil menyifatkan ulama masa kini semakin kebuntuan untuk mengutamakan antara ideologi politik dan kebenaran, beliau berkata ulama kini seharusnya melihat kepada legasi ulama terdahulu yang merupakan pemimpin yang dihormati dan diingati kerana mampu menegakkan kebenaran meskipun terpaksa mengetepikan kehendak dan naluri sendiri.

"Istilah ulama sebenarnya merupakan golongan pemimpin yang memahami tuntutan kebenaran, mereka merupakan golongan yang menyelesaikan, pemikir yang berfikir dengan berpaksikan kebenaran untuk dijadikan satu teladan.

"Namun, disebabkan delima politik, terdapat perilaku ulama yang menimbulkan kesangsian dan kebuntuan sehingga harapan masyarakat kepada ulama kini tidak lagi dipenuhi. Sebagai contoh mereka sepatutnya menyumbang kepada perpaduan tetapi mereka jadi benih perpecahan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama Kelantan Di Nusantara di sini hari ini.

Hussin berkata bagi menimbulkan kesedaran terhadap kedangkalan ulama antara mempertahankan kebenaran dan politik, UiTM menganjurkan Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama Kelantan Di Nusantara itu bagi mengangkat kembali martabat ulama di negara ini dengan cara mencontohi dan mengingati perjuangan ulama terdahulu.

"Legasi dan jasa besar ulama terdahulu, jika kita tidak membicarakannya dalam pelbagai dimensi medan ilmu seperti (seminar) ini, sudah pasti ianya akan berlalu begitu sahaja tanpa perhatian.

"Tujuan seminar ini adalah sebagai ingatan dan kesedaran kepada mereka (ulama masa kini) dan diri kita sendiri selain sebagai satu strategi untuk mengingati sejarah ulama terdahulu yang jasa dan pengorbanan mereka terlalu banyak dan terlalu besar terhadap perkembangan ilmu, institusi keilmuan dan Islam itu sendiri," katanya.

Hussin berkata seminar itu akan diadakan secara bersiri bagi mencungkil lebih banyak rahsia mengenai keintelektualan Islam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain