suria

Subsidi Yuran Pengajian Pelajar Asing Di IPTA Ditarik Balik Julai

PUTRAJAYA: Subsidi yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang turut dinikmati oleh pelajar asing akan ditarik balik mulai sesi pengajian Julai ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini bermakna yuran pengajian yang perlu dibayar oleh pelajar asing tersebut sama seperti jumlah yang dikenakan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada pelajarnya.

Bagaimanapun, katanya, subsidi yuran pengajian kepada pelajar tempatan di IPTA dikekalkan.

"Dalam sektor pengajian tinggi, kita ingin menjelaskan bahawa tidak ada apa-apa cadangan untuk menghapuskan subsidi kepada pelajar tempatan di IPTA supaya rakyat tidak merasa bimbang.

"Bagaimanapun, mulai tahun ini subsidi yuran pengajian atau sebagainya yang diberikan kepada pelajar antarabangsa tidak lagi membenarkan apa-apa elemen subsidi diberikan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian surat kelulusan penubuhan, pendaftaran IPTS dan pendaftaran Ketua Eksekutif Universiti Antarabangsa Inti, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata sebelum ini, sesetengah IPTA menjadikan keistimewaan subsidi tersebut sebagai daya tarikan untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

"Tetapi setiap IPTA sekarang ini mempunyai kekuatan masing-masing dan ramai pelajar asing mahu belajar di IPTA, jadi mereka tidak perlu lagi diberikan keistimewaan subsidi itu dan mereka perlu bayar (yuran) penuh," katanya.

Mengenai kenaikan taraf Kolej Universiti Inti kepada Universiti Antarabangsa Inti, beliau berkata pengiktirafan tersebut diharap mampu menyumbang kepada usaha Malaysia menjadikan negara ini sebagai hab pengajian tinggi.

"Universiti Antarabangsa Inti menepati kriteria atau syarat untuk dinaik taraf sebagai sebuah universiti dan diharap dengan pengiktirafan ini bakal menawarkan program bertaraf dunia kepada pelajar," katanya.

Universiti Antarabangsa Inti yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan itu ditubuhkan sejak 1998 dan mempunyai 5,500 pelajar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain