suria

TATiUC Mula Ambil Pelajar Luar Negara

KEMAMAN: Kolej Universiti Tati (TATiUC), universiti kemahiran tinggi milik penuh kerajaan negeri Terengganu di sini akan menerima pelajar luar negara mulai Julai ini.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, untuk permulaan kolej berkenaan akan menapis dan mengambil pelajar dari China serta Indonesia bersama 800 pelajar baru tempatan yang akan mendatar Julai ini.

"Sasaran kita ialah dalam masa tiga tahun dari sekarang, TATiUC akan menjadi sebuah kolej universiti yang mempunyai 3,000 pelajar dari dalam dan luar negara," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian Sijil Industrial Skills Enhancement Program (INSEP) di sini hari ini.

Seramai 272 orang graduan TATiUC menerima sijil tersebut yang diperkenalkan bagi memberi nilai tambah kepada kemahiran sedia ada kepada siswazah yang telah tamat pengajian di peringkat diploma dan ijazah pertama.

Dr Mohd Rozailan berkata sehubungan dengan penambahan jumlah pelajar, kolej tersebut telah menambah enam kursus ijazah daripada dua kursus yang sedia ada serta mengadakan satu kursus peringkat diploma. Katanya kursus yang ditawarkan ialah Bachelor Computer Science With Business Management, Bachelor Chemical Engineering (kerjasama dengan Queen Universiti of Belfast), Bachelor Polymer Engineering Technology, Bachelor Chemical Engineering Technology.

Bachelor Computer Science (Industry Computing), Bachelor Compueter Science (Database Management), Bachelor Engineering Technology (Robotics and Automation) dan Bachelor Engineering Technology (Networking and System) serta Diploma Graphic Media Design.

Dr Mohd Rozailan berkata secara keseluruhan, 90 peratus graduan lepasan TATiUC sudah mendapat pekerjaan terutama dalam sektor industri di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain