suria

Negara Kurang Pakar Optometris - Rosnah

SHAH ALAM: Malaysia masih kekurangan pakar optometris dan Kementerian Kesihatan berhasrat menambah bilangan agar nisbahnya menjadi seorang pakar bagi setiap 10,000 penduduk, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Katanya angka 717 pakar optometris dan 435 pakar oftalmologi yang terdapat di seluruh negara pada masa ini tidak sepadan dengan populasi Malaysia seramai 28 juta orang.

"Bagaimanapun, kekurangan pakar optometris di negara ini belum berada di tahap kritikal, meskipun Malaysia jauh ketinggalan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya seorang optometris setiap 10,000 penduduk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Pelajar Optometri Peringkat Kebangsaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dekat sini.

Rosnah berkata lebih banyak kursus optometri akan diperhebahkan kepada umum bagi mewujudkan peluang kepada mereka menceburi bidang itu sebagai usaha mengatasi kekurangan itu.

"Selain menghebahkan kursus ini kepada umum, kementerian juga akan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk memberikan ceramah bagi memperkenalkan kursus itu," katanya.

Ketika berucap sebelum itu, Rosnah berkata kementerian sedang mengkaji kemungkinan untuk menyerap pelajar kursus optometri yang menghadapi masalah menjalani latihan praktikal ke dalam Program Klinik Bergerak Kerajaan dan Klinik 1Malaysia di seluruh negara.

"Dengan cara ini, pelajar akan dapat menghayati realiti kesihatan mata sebenarnya di kalangan rakyat," katanya dan menambah kata cadangan itu akan dibawa ke peringkat kementerian untuk diperincikan. - BERNAMA

Artikel Lain