suria

Lemah Bahasa Inggeris Halang Siswazah Peroleh Kerjaya Bagus - Naib Canselor UPM

MELAKA: Kemahiran menguasai bahasa Inggeris merupakan satu keupayaan yang mesti dimiliki semua penuntut universiti kerana kelemahan dalam bahasa itu sering kali menjadi halangan kepada siswazah mendapat kerjaya yang bagus.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah berkata kajian yang dilakukan Pusat Alumni UPM membabitkan lebih 4,000 siswazah mendapati "kemahiran dalam bahasa Inggeris" dianggap kriteria kedua terpenting yang dilihat majikan selepas "keupayaan berfikiran kritikal".

"Kami percaya dengan kesedaran sedemikian di kalangan penuntut, inilah masanya untuk menekankan akan pentingnya mahir berbahasa Inggeris dan menggandakan usaha untuk meningkatkan tahap kemahiran," katanya semasa merasmikan persidengan antarabangsa mengenai pengajaran bahasa Inggeris (MICELT) 2010 selama tiga hari yang disertai 200 peserta di sebuah hotel sini hari ini.

Nik Mustapha berkata memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah amat perlu sejajar dengan usaha Kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di negara ini.

"MICELT telah membantu negara ini dalam agenda pengajaran bahasa Inggeris sejak 1996 dan pertumbuhan memberangsangkan dilihat sejak ia diadakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain