suria

Aktiviti Ko-Kurikulum Di IPTA Diperkasa

TEMERLOH: Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkasakan lagi aktiviti ko-kurikulum di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, aktiviti ko-kurikulum bertujuan melahirkan graduan sebagai modal insan yang seimbang daripada segi fizikal, intelektual, psikologi dan spiritual.

"Bagi memastikan sasaran itu tercapai, kerajaan akan memperuntukkan dana bagi memastikan semua institusi pengajian tinggi dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana untuk melakukan aktiviti ko-kurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan Eksplorasi Berakit Sungai Pahang IPT 1Malaysia 2010 anjuran Universiti Malaysia Pahang yang disertai lebih 450 peserta IPT dari seluruh negara di Esplanade Temerloh di sini hari ini.

Saifuddin berkata penglibatan graduan dalam ko-kurikulum bukan sahaja akan memahirkan mereka dalam sesuatu bidang yang diceburi, malah akan menjadikan mereka pakar dalam pelbagai bidang.

Peserta ekspolarasi itu akan singgah di Kampung Kuala Triang di Bera, Kampung Pesagi di Maran, Kampung Belimbing dan Kampung Kiambang, Pekan sebelum berakhir di Pekan Riverfront, Pekan pada 15 Mei. - BERNAMA

Artikel Lain