suria

Lim Kok Wing University, Nokia Jalin Kerjasama Majukan Aplikasi Widget

KUALA LUMPUR: Limkokwing University bekerjasama dengan Nokia untuk melatih para pelajar dan kakitangan dalam membangunkan aplikasi mudah alih serta mereka widget.

"Tujuan kerjasama ini ialah untuk memberi peluang kepada para pelajar menunjukkan idea inovatif masing-masing yang boleh mengerak dan meningkatkan ekonomi negara dan gaya hidup," kata Kenny Mathers, Ketua Perhubungan Pemaju Forum Nokia dan Komuniti Pemaju, selepas menandatangani memorandum persefahaman di sini hari ini.

"Kerjasama itu, sebagai permulaan selama 12 bulan, akan membantu para pelajar bukan sahaja dalam membangunkan aplikasi Nokia tetapi juga akan memperkenalkannya ke pasaran menerusi Ovi Stores kami, di mana pengguna di seluruh dunia boleh memuat turun widget dan aplikasi Nokia," katanya.

Mathers berkata, pelajar akan menerima 70 peratus daripada perolehan daripada aplikasi yang direka mereka, dengan Nokia memperoleh baki 30 peratus.

Universiti itu juga menerima AS$15,000 daripada Nokia sebagai bantuan dalam bidang pembangunan widget. - BERNAMA

Artikel Lain