suria

IPT Perlu Hasilkan Lebih Banyak R&D Untuk Dikomersialkan - Khaled

KUALA LUMPUR: Institusi Pengajian Tinggi perlu menjadi pemain utama dalam Model Ekonomi Baru (MEB) dengan menghasilkan lebih banyak aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang berinovasi tinggi untuk dikomersialkan pada masa depan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi memastikan produk R&D mereka dapat dikomersialkan dan bukan setakat menjadi bahan rujukan sahaja mereka perlu menjalin kerjasama dengan industri-industri tempatan.

"Pemindahan teknologi dapat dipertingkatkan dan dipercepatkan dalam membantu proses inovasi dalam industri yang terbabit dan ia juga akan memberi dorongan kepada pihak industri-industri lain untuk membuat pelaburan dalam R&D bersama universiti-universiti tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pengajian Tinggi dan Model Baru Ekonomi anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi di sini Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Dr Mahani Zainal Abidin dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Prof Dzulkifli Abdul Razak.

Selain itu, usaha R&D itu adalah selari dengan MEB yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk membolehkan Malaysia mencapai status pendapatan tinggi dan status negara maju menjelang tahun 2020, katanya.

Sementara itu, Dr Mahani berkata IPT memainkan peranan penting dalam MEB kerana mereka perlu melahirkan para graduan yang berkemahiran tinggi.

Graduan yang memiliki kemahiran tambahan akan lebih berpeluang menikmati gaji yang tinggi berbanding graduan yang menumpukan perhatian kepada satu subjek sahaja, katanya kepada Bernama.

"IPT perlu menganjurkan kursus-kursus tambahan kepada pelajar mereka seperti sejarah, geografi dan sebagainya untuk memastikan kelayakan dan kemahiran mereka sentiasa mengikuti kehendak pasaran kerja semasa," katanya.

Sehubungan itu, IPT perlu menyediakan pendidikan yang komprehensif dan bukannya menumpukan pada satu subjek sahaja, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain