suria

PM Lancar Pejabat Satelit UTM di Universiti Meiji

SKUDAI: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan merasmikan pejabat satelit Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Tokyo, esok (Selasa).

Perasmian pejabat yang terletak di kampus Universiti Meiji itu akan dilakukan selepas Perdana Menteri menerima anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran dari Presiden Universiti berkenaan Profesor Hiromi Naya.

Perdana Menteri kini berada di Jepun untuk lawatan rasmi.

Menurut Penolong Pendaftar (Media), UTM, Sabri Ahmad, pejabat satelit itu adalah yang pertama ditubuhkan oleh UTM di luar negara bagi meningkatkan kerjasama dengan pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi penyelidikan di Jepun.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara UTM dan Universiti Meiji yang akan ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang dan rakan sejawatannya dari Universiti Meiji,Profesor Hiromi Naya.

Perjanjian itu bertujuan mengadakan program Dwi-Sarjana yang membolehkan mahasiswa yang mengikuti pengajian mendapat dua ijazah serentak.

UTM akan menawarkan kursus Sarjana Sains Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan (Masters of Science in Engineering Business Management) manakala Universiti Meiji menawarkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Masters of Business Administration).

Artikel Lain