suria

Wisma Khidmat Dijadikan Bangunan Fakulti Perubatan UMS

PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini berkata Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mengambil alih Wisma Khidmat untuk dijadikan bangunan fakulti perubatannya.

UMS juga akan menempatkan fasiliti yang menyediakan perkhidmatan klinikal kepada orang ramai di bangunan itu, katanya kepada pemberita di sini.

"Ianya akan menjalankan dua peranan iaitu berfungsi sebagai fasiliti kepada pelajar UMS dan menyediakan perkhidmatan klinikal kepada masyarakat," katanya.

Sebelum ini kerajaan Sabah bercadang menyerahkan Wisma Khidmat kepada Kerajaan Persekutuan untuk ditukar sebagai hospital bagi menampung keperluan selepas blok utama Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu ditutup setelah diisytihar tidak selamat pada Oktober 2008.

Bagaimanapun, pada Mei tahun lepas kerajaan Sabah mengumumkan perancangan baru untuk menjadikan bangunan itu hospital swasta selepas Kementerian Kesihatan membeli Sabah Medical Centre bagi menjadikannya fasiliti umum untuk menampung keperluan di negeri itu.

Pelbagai reaksi diterima ekoran pengumuman itu dengan sesetengah pihak menyifatkan bangunan tersebut tidak sesuai dijadikan hospital sementara yang lain menyambut baik memandangkan Sabah amat memerlukan fasiliti kesihatan tambahan.

Kompleks itu yang dimiliki oleh entiti kerajaan negeri, Sabah Credit Corporation (SCC), sebelum ini menempatkan Kementerian Pertanian dan sebuah pasaraya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SCC Datuk Vincent Pung berkata proses pengambil alihan oleh UMS itu kini pada peringkat perbincangan.

Mengulas mengenai perkembangan berkaitan, Musa berkata kerajaan negeri difahamkan kerja-kerja meruntuhkan bangunan utama Hospital Queen Elizabeth yang ditutup itu akan bermula bulan depan. - BERNAMA

Artikel Lain