suria

Unimas Sasar Menjadi Universiti Penyelidikan Menjelang 2015

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menetapkan sasaran untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan menjelang tahun 2015 khasnya dalam bidang strategik yang berteraskan aspek inovasi, kata Naib Canselornya Profesor Dr Khairuddin Abdul Hamid.

Beliau berkata kekuatan dan kepakaran Unimas dalam pelbagai bidang tertentu, seperti penyelidikan tenaga yang boleh diperbaharu, diiktiraf dan dipercayai oleh pihak industri dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

"Antara langkah yang akan dilaksanakan ialah menubuhkan dua lagi Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi serta menaik taraf sekurang-kurangnya satu Pusat Kecemerlangan Unimas ke peringkat Kementerian Pengajian Tinggi atau Nasional dalam masa dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian persidangan kejuteraan ketiga 2010 (EnCon2010) oleh Menteri Perumahan dan Pembanguan Bandar Sarawak Datuk Abang Johari Tun Abang Openg di sini hari ini.

Dr Khairuddin berkata Unimas yang ditubuhkan 17 tahun lepas ditawarkan 53 projek perundingan bernilai RM13.5 juta sepanjang tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Lain