suria

Perdana Menteri Akan Saksikan MOA Antara UKM, Stevens

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Stevens Institute of Technology (Stevens), Honoken New Jersey Khamis ini di Washington.

Satu kenyataan oleh UKM di sini menyatakan bahawa MoA itu akan merintis jalan bagi kerjasama yang lebih baik dan usaha sama yang inovatif antara kedua buah institusi itu dan memanjangkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin akan mewakili universiti itu manakala Dr Harold J.Raveche pula mewakili Stevens.

Kenyataan itu berkata, kerjasama itu adalah hasil inspirasi ucapan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Kaherah pada 4 Jun tahun lepas bahawa beliau mahu bekerjasama dengan negara-negara yang majoriti rakyatnya orang Islam seperti Malaysia dan juga dengan model ekonomi yang inovatif oleh Najib.

Sehubungan itu, kedua-dua institusi itu memutuskan untuk meningkatkan perkongsian mereka bagi merintis usaha sama yang inovatif untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembangunan modal insan bagi pertumbuhan industri dan perniagaan.

Sebelum ini, UKM dan Stevens, telah bekerjasama dalam projek penyelidikan dan pendidikan bersama, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain