suria

Kemudahan Penyelidikan BSL3 Bantu Temui Vaksin Baru

KUALA LUMPUR: Kemudahan penyelidikan keselamatan modular yang pertama diwujudkan di Universiti Malaya (UM) di sini untuk mencari vaksin baru bagi penyakit berjangkit tropika.

Dikenali sebagai kemudahan penyelidikan tahap bio-keselamatan modular 2/3 (BSL-3), ia telah disahkan oleh kedua-dua kejuruteraan dan reka bentuk keselamatan, menyediakan satu persekitaran kerja yang selamat kepada saintis dan mampu mengekang ejen jangkitan dari luar.

Timbalan Naib Canselor UM (Akademik dan Antarabangsa) Prof Hamzah Abdul Rahman berkata kemudahan itu mempunyai Prosedur Operasi Piawaian (SOP) tertentu untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada ejen jangkitan.

Kemudahan BSL-3 juga merupakan satu elemen kritikal dalam pengukuhan kapasiti penyelidikan bagi penyakit berjangkit kerana ia membolehkan penyelidik mempelajari bahaya patogen nasional yang selamat, kata beliau.

Skop penyelidikan mengenai penyakit berjangkit tropika di kemudahan itu termasuk aspek diagnosis, epidemiologi, patogenesis, immunologi, terapi dan vaksinologi, katanya.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang melancarkan kemudahan itu di sini hari ini, berkata pewujudannya boleh memberikan galakan kepada universiti lain untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan mengenai penyakit tropika bagi mengawal daripada merebak.

"Kita menggalakkan kerjasama dengan universiti lain. Jangan hanya kerjasama dengan universiti luar negara. Sebab yang penting bagi negara kita, kita dapat cari penawar, vaksin dan sebagainya," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kemudahan penyelidikan itu.

Kemudahan itu diuruskan oleh Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (Tidrec) yang ditubuhkan pada tahun 2008, yang berfungsi sebagai sebuah pusat kerjasama tempatan dan antarabangsa dalam penyelidikan penyakit berjangkit tropika untuk UM. - BERNAMA

Artikel Lain