suria

USM Cipta Kit Pembelajaran Sains Untuk Sekolah Rendah

PULAU PINANG: Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta kit pembelajaran Sains untuk membantu murid luar bandar yang lemah subjek itu melalui kaedah membawa Sains ke bilik darjah.

Kit yang dicipta sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM yang diketuai Dr Hashimah Mohd Yunus itu membantu mempermudahkan pembelajaran Sains bagi pelajar sekolah rendah.

Hashimah berkata, kit yang mengandungi pelbagai peralatan asas untuk pembelajaran Sains itu membantu guru mengajar murid mengenai perkara asas dalam Sains melalui pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan dalam bilik darjah.

"Kit ini sesuai untuk sekolah rendah di kawasan pedalaman yang kekurangan infrastruktur, kemudahan dan sumber pengajaran dan pembelajaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kit pembelajaran berkenaan dibangunkan sejak tahun lepas menggunakan geran penyelidikan sebanyak RM2.7 juta daripada Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah.

Hashimah berkata, terdapat lima kit yang dibangunkan dengan setiap satu mempunyai tema berbeza iaitu menyiasat alam kehidupan, menyiasat daya dan tenaga, menyiasat alam bahan, menyiasat bumi dan alam semesta dan menyiasat dunia teknologi.

Katanya, setiap kit mempunyai empat komponen yang mengandungi panduan guru, aktiviti murid, penilaian murid dan peralatan bantu pengajaran sains.

"Sebelum menggunakan kit itu, prestasi murid akan dinilai terlebih dahulu dan jika terbukti lemah, guru boleh menggunakan kit itu mengikut tahap bersesuaian dengan murid terlibat," katanya.

Hashimah berkata, kit dicipta untuk kegunaan murid tahun tiga tetapi ia juga boleh digunakan untuk mengajar murid tahun lain yang lemah subjek Sains.

Beliau berkata, jika dikomersialkan, kit itu dianggarkan berharga RM696 setiap satu. - BERNAMA

Artikel Lain