suria

UNIRAZAK Bekerjasama Dengan CTIM Dalam Bidang Percukaian

KUALA LUMPUR: Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK)dan Institut Percukaian Malaysia (CTIM) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama dalam bidang pendidikan percukaian.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden dan Naib Canselor UNIRAZAK Prof Datuk Dr Md Zabid Abdul Rashid bagi pihak universiti manakala Presiden CTIM Dr Veerinderjeet Singh untuk pihak institut di Kampus Razak, UNIRAZAK di sini Jumaat lepas.

Menurut satu kenyataan UNIRAZAK hari ini, menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan berkongsi maklumat dan sumber mengenai perkembangan terkini berhubung kursus berkaitan percukaian yang dikendalikan oleh kedua-dua organisasi itu.

"UNIRAZAK memandang ke hadapan untuk bekerjasama erat dengan CTIM bagi meningkatkan kemajuan dalam bidang pendidikan percukaian di Malaysia.

"Menerusi kerjasama ini, UNIRAZAK dan CTIM akan dapat membangunkan profesional percukaian di Malaysia dan meningkatkan mereka ke tahap lebih tinggi," kata Md Zabid yang dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, CTIM akan menyediakan input untuk meneruskan kurikulum percukaian bagi setiap kursus yang ditawarkan UNIRAZAK bagi memastikan kandungan kursus memenuhi keperluan dalam profesion, dan UNIRAZAK akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa berhubung program percukaian kepada CTIM. -BERNAMA

Artikel Lain