suria

Kerjasama GPMS dan ACMS Beri Peluang Kepada 5,000 Pelajar Pengajian Sains Perubatan

ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semanjung (GPMS) Kedah akan menjelajah ke seluruh negeri sehingga 10 April ini bagi menarik 5,000 bekas pelajar untuk mengikuti pengajian peringkat diploma dalam sains perubatan di Kolej Sains Perubatan Allianze (ACMS).

Pengerusi GPMS Kedah, Zuraidi Rahim, memberitahu Bernama bahawa hasil kerjasama GPMS Kedah dan ACMS, gabungan itu diberi kuota mendapatkan 5,000 orang untuk belajar di ACMS dalam lima program peringkat piploma iaitu Kejururawatan, Farmasi, Sains Perubatan, Fisioterapi dan Pra-Perubatan.

Beliau berkata pelajar yang lulus sekurang-kurangnya tiga kredit dan lulus Bahasa Malaysia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) layak memohon.

"Kerjasama ini meringankan beban pelajar kerana dikecualikan dari membayar yuran pengajian sebanyak RM3,000 semasa mendaftar. Mereka hanya dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50," katanya.

Yuran pengajian itu bagaimanapun akan dipotong apabila mereka menerima pinjaman pengajian, kata Zuraidi.

Menurutnya pengajian selama tiga tahun diadakan hospital yang juga kampus tetap ACMS di Bertam, Kepala Batas, mulai 12 April ini atau di Hospital Pusrawi di Kuala Lumpur.

Zuraidi berkata mereka yang menamatkan pengajian dijamin pekerjaan oleh ACMS.

Katanya kempen pendaftaran terbuka yang pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz di Yan pada Sabtu lepas telah menarik seramai 250 lulusan SPM dan STPM yang mendaftar untuk mengikuti program tersebut.

Kempen berikutnya akan berlangsung di SMK Pendang pada 3 April dan di Dewan Majlis Bandaran Baling di Kuala Ketil pada 4 April dari 9 pagi hingga 5 petang manakala tarikh untuk daerah lain belum ditetapkan. -BERNAMA

Artikel Lain