suria

Jins Shamsuddin Terima Ijazah Kedoktoran UUM

ALOR SETAR: Penggiat seni Tan Sri Jins Shamsuddin adalah antara graduan yang akan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-23 universiti tersebut selama tiga hari mulai Sabtu ini.

Beliau atau nama sebenarnya Mohamed Zain Shamsuddin, 75, berjaya menamatkan pengajian peringkat kedoktoran selama dua tahun.

Jins seorang pelakon dan pengarah filem pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School dari 1970 hingga 1972 dan menerima diploma dengan Kepujian Kelas Pertama.

Pada 1999, anak kelahiran Taiping ini menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.

Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi memberitahu sidang akhbar hari ini, yang turut menerima ijazah kedoktoran ialah ialah Bupati Inderagiri, Indra Mukhlis.

"Mereka menamatkan pengajian atas daya usaha sendiri setelah menyiapkan tesis masing-masing," kata Nordin.

Beliau berkata UUM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim (bagi bidang Keusahawanan) dan Pengerusi KLIA Premier Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Ir Jamilus Md Hussein (Pengurusan Teknologi).

Seramai 4,553 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen tersebut termasuk dua penerima ijazah kehormat, doktor pentadbiran (3), doktor falsafah (29), sarjana (683), sarjana muda (3,759), diploma lepasan ijazah (55) dan diploma (22).

Nordin berkata Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selaku Canselor UUM akan menyempurnakan konvokesyen sesi pertama, sesi kedua dan ketiga oleh Pro Canselor II, Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim manakala sesi keempat dan kelima oleh Pro Canselor I, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain