suria

Politeknik Ungku Omar Harap Tarik Pelajar Arab

IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, yang diberi taraf politeknik premier ke arah menjadi sebuah universiti, bakal menjadikan kursus diploma kejuruteraan marin serta kursus diploma penyenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) sebagai kursus pilihan untuk menarik minat pelajar baru dan dari luar negara.

Pengarahnya Mohamad Jayus Bunasir berkata selain dua kursus itu, kursus diploma lanjutan kejuruteraan mekanikal juga menjadi bidang tujahan pendidikan teknikal, terutama apabila ia dibenarkan mengambil pelajar luar negara.

"Selaras dengan penarafan itu, PUO tidak lagi menawarkan kursus peringkat sijil mulai Julai ini dan sebaliknya mengadakan kursus diploma lanjutan selain kursus diploma sedia ada," katanya kepada Bernama.

Pada 25 Feb lepas, PUO bersama Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Johor Baharu dinaik taraf sebagai politeknik premier bagi merintis jalan mewujudkan Universiti Politeknik menjelang 2015.

Mohamad Jayus berkata berjaya atau tidaknya sasaran kerajaan untuk mewujudkan Universiti Politeknik dalam tempoh lima tahun akan datang kini dipikul cabarannya oleh pihak pengurusan tiga politeknik premier berkenaan.

"Kita sudah dimaklumkan bahawa PUO akan mengadakan kursus diploma lanjutan dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Jadi, insyaAllah pengambilannya akan dibuat pada Julai ini," katanya.

Mohamad Jayus berkata kursus diploma kejuruteraan marin dijangka mendapat perhatian pelajar luar negara khususnya dari negara-negara Arab.

Beliau berkata sebelum ini PUO ada menerima permohonan dari luar negara untuk mengikuti kursus diploma kejuruteraan marin dan penarafan politeknik premier itu yang membenarkan pengambilan pelajar asing kini membuka pintu seluasnya kepada PUO untuk memenuhi permintaan berkenaan.

"Kita akan perbaiki kandungan kurikulumnya. Kita akan memperkasakan kursus kejuruteraan marin agar kita tidak merasa rendah diri apabila pelajar luar negara datang mengikuti program berkenaan," katanya.

PUO merupakan satu-satunya politeknik daripada 27 politeknik di Malaysia yang menawarkan kursus diploma kejuruteraan marin ketika ini.

"Apabila kita membuka pintu kita kepada pelajar antarabangsa, penyampaian atau tahap kemahiran berbahasa Inggeris di kalangan pensyarah itu amat diperlukan.

Maka, program peningkatan kemahiran bertutur, kemahiran teknikal Inggeris akan dipertingkatkan di kalangan pensyarah," kata Mohamad Jayus.

Katanya PUO mempunyai bilangan pensyarah yang mencukupi dan kemudahan prasarana yang memadai dalam melaksanakan peranan barunya mulai Julai ini.

"Kemudahan asas yang diperlukan terutama di bengkel, tidak banyak yang perlu dipertingkatkan lagi...cuma yang perlu mungkin daripada segi teknologi yang terkini tapi kita mengikuti perkembangan yang itu," katanya.

Beliau berkata penarafan sebagai politeknik premier diharap menjadikan politeknik sebagai pilihan utama kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi.

PUO ditubuhkan pada 1969 dan menyambut ulang tahun ke-40 tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain