HUSM Pusat Rujukan Perubatan Kesan Penyakit Otak

Diterbitkan: Rabu, 17 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sekali lagi melakar sejarah apabila ia menggunakan teknologi moden untuk mengesan penyakit berkaitan saraf otak.

Naib Cancelor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Prof Dzulkifli Abd Razak, berkata alat pengesanan penyakit yang dinamakan Magnateoecephalography (MEG) berharga RM11.8 juta itu ditempatkan di Makmal Klinik MEG/ERP Neuo Sains hospital itu, dekat sini.

Menurutnya, alat itu merupakan yang pertama digunakan di negara ini dan mula beroperasi di makmal tersebut sejak Julai lalu dan setakat ini pihaknya telah merawat 100 pesakit berkaitan saraf otak.

"Dengan penggunaan alat ini, HUSM akan muncul sebagai pusat rujukan perubatan pertama menggunakan MEG itu di Asia Tenggara dalam pengesanan penyakit berkaitan saraf otak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Klinikal MEG & ERP Neurosains, di hospital itu, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed dan Ketua Jabatan Nuerosains HUSM, Prof Dr Jafri Malin Datuk Abdullah.

Dr Dzulkifli berkata mengikut kajian dengan menggunakan alat itu ia mampu mengesan 80 peratus kes-kes berkaitan otak lebih awal dan tepat sebelum mengubati sesuatu penyakit berkaitan saraf otak.

"Magneteoencephalography ini merupakan salah satu modaliti pengimejan otak dan saraf yang tidak menyakitkan dan selamat kerana ia tidak melibatkan sebarang unsur radiasi dan pembedahan dengan keupayaan menghasilkan imej beresolusi tinggi," katanya.

Beliau berkata, teknologi terkini dan canggih ini mampu mendiagnosakan masalah angin ahmar, trauma otak, masalah sakit jiwa dan kemurungan serta membantu dalam bidang kognitif yang melibatkan terapi rehabiliti dan rawatan psikologi.

Menurutnya, peralatan itu diluluskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun ini dan memberi perkhidmatan kepada pesakit dari seluruh negara dan Asia Tenggara.

Katanya sebuah lagi alat seumpama itu yang diimport dari Sweeden akan ditempatkan di kampus induk di bawah peruntukan Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK-10) pada tahun depan.

Sementara itu, Prof Dr Jafri Malin berkata tujuh doktor pakar mengendalikan Makmal Klinikal MEG dan ERP itu termasuk melibatkan pakar sawan, bedah otak, ahli farmasi dan neurofisiologis.

"Kesemua mereka yang terlibat merupakan pakar yang berpengalaman dalam mengendalikan apa jua kes yang perlu dikendalikan mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan