suria

Ketua Hakim Negara Dilantik Profesor Adjung UiTM

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk tempoh dua tahun mulai 15 Februari lalu.

Dekan fakulti tersebut Prof Madya Saudah Sulaiman berkata pihak fakulti amat berbesar hati di atas persetujuan Zaki untuk menerima pelantikan itu.

"Ini memandangkan julung kalinya seorang Ketua Hakim Negara, yang mengetuai badan perundangan tertinggi negara, dilantik menjadi Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang UiTM," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saudah berkata sebagai Profesor Adjung, Zaki akan mengadakan syarahan umum bertajuk 'Isu dan Cabaran Dalam Profesion Perundangan' buat pertama kali pada Jumaat ini.

Syarahan umum itu akan diadakan di Auditorium Bangunan Cempaka 1, Fakulti Undang-Undang UiTM, Shah, Alam, pada pukul 3 petang.

Zaki, 64, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Okt 2008 dan beliau merupakan pengerusi pertama bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sejak penubuhannya pada 16 Feb 2009.

Beliau dilahirkan pada 12 Sept 1945 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College, Johor Baharu.

Pada 1969, beliau telah melanjutkan pengajian di Lincoln's Inn, London dan dianugerahkan Barrister-at-Law. - BERNAMA

Artikel Lain