suria

Khaled Nordin Sahkan USM Tidak Buka Kampus Baru Di India

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menafikan laporan kononnya Universiti Sains Malaysia (USM) dibenarkan membuka kampus barunya di luar negara.

Katanya universiti itu sebenarnya hanya mengadakan kerjasama dengan Jawaharlal Nehru Medical College di Belgaun, India, untuk menawarkan kursus perubatannya di kolej itu.

Beliau berkata seluruh rakyat Malaysia pasti akan merasa marah jika pihaknya membenarkan USM membuka cawangan di India dengan menggunakan wang rakyat, dan menurutnya kerajaan juga tidak akan membenarkannya sama sekali.

"Bagaimanapun untuk menempatkan program pengajian yang sudah diterima pakai untuk digunakan di universiti India, seperti francais umpamanya, ia adalah sesuatu yang boleh diterima," katanya kepada pemberita semasa mengulas isu berkenaan di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan yang universiti itu sedang melebarkan sayapnya di luar negara dengan membuka cawangan baru di India yang akan mula mengambil pelajar pertama Julai ini.

Naib Canselor USM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang berkata kenyataan beliau di salah tafsir sebelum ini menjelaskan bahawa universiti itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka kampus baru di India, dan kerjasama yang terjalin ketika ini adalah atas undangan dari Jawaharlal Nehru Medical College sendiri.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata universiti awam tempatan digalakkan supaya menggunakan universiti-universiti yang menjalankan pendidikan online seperti Universiti Terbuka Malaysia (OUM) atau Asian e-University (AeU) sebagai alat untuk menyalurkan programnya di luar negara.

Beliau berkata ini juga merupakan satu cara yang boleh digunakan oleh universiti awam untuk meningkatkan sumber pendapatannya.

"Berdasarkan kuota, universiti awam hanya dapat mengambil tidak lebih dari lima peratus (daripada jumlah pelajarnya) pelajar asing. Tapi sekiranya mereka dapat menawarkan kursus mereka secara online menerusi OUM dan AeU, pasti lebih ramai pelajar asing boleh menyertainya," katanya.

Bagaimanapun menurutnya jika setiap universiti tidak bekerjasama, semua ini tidak dapat dilaksanakan.

Terdahulu Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kesatuan Eropah-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUMCCI) dan anggota pertubuhannya UTi Worlwide Malaysia Sdn Bhd dan German-Malaysia Institute (GMI) bagi melancarkan program 'apprenticeship' dalam industri logistik buat belia Malaysia yang kurang berkemampuan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi EUMCCI Jean-Francois Jadin, Pengarah Urusan UTi Joerg Friedel dan Pengarah Urusan GMI Yusoff Md Sahir.

Program apprenticeship itu berdasarkan kepada silibus latihan dua tahun yang diiktiraf oleh kerajaan Jerman.

Kumpulan pertama pelatih yang terdiri daripada lima apprentis dari Sabah yang dipilih Januari lepas menerusi Pusat Kebajikan Good Shepherds.

Mohamed Khaled berkata setiap hari kira-kira 300,000 pelajar keluar dari sistem sekolah, dengan sebahagian daripada mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, sesetengahnya pula tercicir.

Memandangkan Malaysia sedang berhijrah ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, kerajaan sedang berusaha keras untuk memaksimakan penggunaan sumber manusianya, termasuk melatih dan menyediakan nilai tambah, dan inilah yang memerlukan kerjasama syarikat-syuarikat yang terbabit, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain