suria

USM Catat Rekod Pementasan Teater Monolog Terpanjang Di Malaysia

PULAU PINANG: Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya mementaskan teater monolog selama enam jam tanpa henti yang hanya dilakonkan oleh seorang pelakon, sekaligus mencatat rekod sebagai teater monolog terpanjang di Malaysia.

Kejayaan itu akan direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

Rekod terdahulu teater monolog terpanjang adalah selama 4.4 jam yang dicatat pada tahun 2003 di Johor.

Teater USM tersebut yang bertemakan "Pencegahan Rasuah Tanggungjawab Bersama" dipentaskan bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Budaya USM.

Ia memuatkan tujuh pengkisahan berbeza tentang rasuah yang dilakonkan oleh Khairol Azhar Abdul Jalil.

"Walaupun penat, saya berpuas hati kerana berjaya memecahkan rekod teater monolong terpanjang di Malaysia," kata Khairol Azhar kepada pemberita kemudiannya.

Pengerusi projek pementasan teater itu, Nurmaizatulhana Othman berkata objektif pementasan teater tersebut antaranya ialah untuk menghapuskan jenayah rasuh, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dengan menggunakan kaedah pendidikan melalui teater kepada masyarakat khususnya golongan muda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain