suria

IPTS Perlu Tawar Lebih Banyak Kursus Lepasan Ijazah Dan R&D

PETALING JAYA: Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini disarankan supaya menawarkan lebih banyak kursus lepasan ijazah dan kursus berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membantu menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi terulung di rantau ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu membudayakan inovasi dan penyelidikan sebagai cara hidup.

"Saya rasa sudah sampai masa IPTS di negara ini menumpukan perhatian dalam menawarkan kursus untuk lepasan ijazah dan R&D jika mahu melihat Malaysia berjaya sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi di Asia Tenggara," katanya kepada kepada pemberita di sini pada malam tadi.

Beliau sebelum itu menyaksikan majlis menandatangai memorandum persefahaman antara (MoU) Kolej Universiti MAHSA dan University Of Northumbria. MAHSA diwakili oleh Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutifnya Prof Datuk Dr Mohamed Haniffa, manakala Northumbria diwakili Naib Canselor dan Ketua Eksekutifnya Prof Andrew Wathey.

Sementara itu Dr Mohamed Haniffa berkata MAHSA memilih untuk menjalin kerjasama dengan universiti tersebut berdasarkan kredibilitinya dalam bidang penjagaan kesihatan dan kejururawatan.

"Jalinan ini juga adalah sebagai membuktikan kita mahu memberikan pendidikan yang terbaik dan berkualiti pada para pelajar bagi memastikan kita bukan sahaja dapat melahirkan graduan yang berkualiti tetapi dapat diterima untuk bekerja di seluruh dunia," katanya kepada pemberita.

Semasa ditubuhkan pada 2004, MAHSA hanya menawarkan Diploma Kejururawatan, tetapi kini kolej universiti itu turut menawarkan kursus ijazah pertama dalam bidang perubatan dan pembedahan, pembedahan pergigian, farmasi, pengajian kejururawatan, fisioterapi, dan sains bioperubatan.

MAHSA juga menawarkan pengajian peringkat diploma bagi kursus kejururawatan, farmasi, fisioterapi, radiografi, teknologi makmal perubatan, kesihatan persekitaran dan teknologi pergigian. - BERNAMA

Artikel Lain