suria

UTM Lantik Tiga Karyawan Tamu

SKUDAI: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melantik Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor Dato’ Abdul Rahim Ramli, kartunis Lat atau Datuk Mohd Nor Khalid dan Datin Sri Fatini Yaacob sebagai Karyawan Tamu.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang ketika mengumumkannya demikian berkata, pelantikan mereka bagi memartabatkan budaya ilmu menerusi penerbitan buku yang dapat memberi impak besar kepada perkembangan ilmu dan masyarakat.

Menurutnya, Abdul Rahim yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor selama 14 tahun bepengalaman luas dalam bidang protokol dan etiket.

Sebagai Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor merangkap Penghulu Istiadat Istana Besar Negeri Johor beliau memiliki kepakaran dan pengalaman yang luas berkaitan protokol, etiket dan adat istiadat yang membabitkan istana.

Oleh itu, sebagai Karyawan Tamu beliau akan dijemput untuk menulis buku dan memberi syarahan mengenai protokol, etiket dan adat istiadat bagi majlis rasmi kerajaan negeri dan istana Johor.

Buku yang dihasilkan nanti akan diterbitkan oleh Penerbit UTM dan boleh dijadikan rujukan oleh generasi akan datang kerana tidak ramai orang yang mahir dalam bidang protokol dan etiket, adat istiadat di istana dan budaya negeri Johor.

Manakala pemilihan Mohd Nor atau kartunis Lat sebagai Karyawan Tamu adalah untuk memggunakan karikator sebagai salah satu medium bagi menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan.

Sebagai kartunis terkenal dan mempunyai ramai peminat di dalam dan luar negara karikatur yang dihasilkannya boleh digunakan untuk mengadakan promosi dan menjadi ikon kepada penjenamaan UTM.

Kartun amat digemari oleh generasi muda khasnya mahasiswa sebagai medium yang ringan dan santai tetapi penuh bermakna serta boleh mengurangkan bebanan membaca dan memahaminya.

Beliau juga akan mengadakan pameran kartun 1Malaysia di UTM Mac ini sempena konvokesyen ke-44.

Sementara itu, Datin Sri Fatini Yaacob yang telah menghasilkan buku bertajuk Natrah terbitan Penerbit UTM dilantik semula sebagai Karyawan Tamu dan kini dalam proses menyiapkan biografi Naib Canselor pertama UTM Tan Sri Ainuddin Wahid.

Menurutnya, pemilihan Fatini yang berkelulusan Sarjana pengajian kewartawanan dari Universiti Wales, dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang penulisan berbentuk biografi.

Beliau pernah menghasilkan Laporan Natrah@ Maria Bertha Hertogh – anak Belanda yang dipelihara oleh ibu Melayu bernama Che Aminah yang telah menimbulkan rusuhan di Singapura.

Artikel Lain