suria

Kelab Bio Perubatan UPM Anjur Simposium Sains Bio-Medical 2010

SERDANG: Kelab Bioperubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Simposium Sains Bio-perubatan 2010 (MySympBioS 2010) yang pertama pada 13 hingga 14 Mac ini di Fakulti Perubatan dan Kesihatan (FPSK) UPM Di sini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama penuntut dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan International Medical Universiti (IMU)

Dekan FPSK, Prof. Dr. Azhar Md. Zain berkata program itu akan menarik minat pelajar dalam usaha penyelidikan dan inovasi dalam bidang berkaitan Sains Bioperubatan melalui penyampaian tesis dan forum bersama penyelidik.

“Simposium ini akan memupuk minat pelajar bidang ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi serta menerajui penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia.

"Program ini juga akan mengumpulkan para pelajar Sains Bioperubatan seluruh Malaysia serta sebagai salah satu platform pelajar bidang ini untuk bertukar pendapat mengenai masa depan kerjaya ini,” katanya.

Beliau berkata, program itu akan menjadi titik permulaan kerjasama pelajar serta warga profesional Sains Perubatan bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk memajukan bidang sains dan teknologi negara sebagai satu entiti kebangsaan serta transformasi baru bagi pengamal bioperubatan pada generasi masa depan.

Katanya, program itu yang dijangka bermula pada pukul 9 pagi juga bakal dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel Lain