UPM Cipta Mesin Nanas 3 Dalam 1

Diterbitkan: Khamis, 11 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Sejajar dengan Tahun Inovasi 2010, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta "Mesin Nanas 3 Dalam 1" yang akan meningkatkan produktiviti produk makanan berasaskan nanas terutama dalam mekanisme pemprosesannya.

Inovasi hasil penyelidikan Dr Rosnah Shamsudin dari Fakulti Kejuruteraan UPM itu akan memudahkan proses pengupasan kulit dan empulur selain berfungsi sebagai pemotong nanas keping dan kiub.

Mesin nanas yang boleh beroperasi secara manual atau automatik itu akan memberi manfaat besar kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) nanas, antara lain dalam pembuatan jem, kuih muih dan nanas tin.

"Pineapple-multipeeler' ini akan menjimatkan tenaga, masa, ekonomik dan selamat untuk digunakan," kata Rosnah pada sidang media mengenai inovasi itu yang masih di peringkat pra-pengkomersilan di UPM Serdang di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) Fakulti Kejuruteraan, Prof Madya Dr Robiah Yunus.

Mesin diperbuat daripada besi tahan karat itu siap dalam tempoh setahun pembangunan dan penyelidikan (R&D) bermula 2008 dengan menggunakan dana penyelidikan RM30,000 daripada UPM.

"Idea untuk mencipta mesin ini kerana kita menyedari ia amat diperlukan oleh IKS nanas," kata Rosnah yang turut mendapat nasihat daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB).

Mengikut MPIB, mesin nanas itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.

Rosnah berkata, mesin nanas itu telah dipatenkan pada 13 November lepas.

Walaupun kos pembuatan mesin itu pada peringkat R&D mencecah RM5,000 sebuah, ia akan jauh lebih murah apabila dikomersilkan kelak, kata pensyarah penyelidik itu. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan