suria

UTM Terbaik Di Pameran Teknologi Malaysia 2010

SKUDAI: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempamerkan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) apabila menggondol lima hadiah utama di Pameran Teknologi Malaysia (MTE) anjuran Malaysian Association Research Scientists (MARS) di PWTC Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Februari lalu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, lebih membanggakan semua 52 produk yang dipertandingkan memenangi pingat dan UTM menjadi institusi yang memperolehi hadiah utama, pingat emas dan pingat keseluruhan terbanyak.

Menurutnya, lima hadiah utama tersebut dimenangi oleh Profesor Abdul Halim Mohd Yatim yang memenangi Best of the Best, Prof Dr Alias Abd Rahman, Prof Madya Dr Abd Hafidz Omar dan Dr Norasikin Othman masing-masing menerima anugerah The Best Award dan Dr Sevia Mahdaliza Idrus memenangi Anugerah Khas Poland.

Hadiah disampaikan oleh Presiden MARS yang juga Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Daud Mohamad di majlis makan malam meraikan para peserta, 5 Februari lalu.

“Sebanyak 486 produk dipertandingkan membabitkan 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, di samping institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan swasta, termasuk dari luar negara,’ katanya.

Beliau berkata, antara peserta dari luar negara yang mengambil bahagian dalam pameran kali ini ialah dari Croatia - 6, Sepanyol - 1, Korea Selatan - 7, Taiwan - 25 dan Poland – 16.

Zaini berkata, Profesor Abdul Halim yang juga Dekan Fakulti Kejuruteraan Biokejuruteraan dan Sains Kesihatan memenangi hadiah Best of the Best menerusi penyelidikannya yang bertajuk An Interface Between Ultracapacitor Energy Storage to Alternafive Energy Resource.

“Produk ini berupaya mengintegrasikan bekalan tenaga alternatif seperti sel bahanapi, photovoltaic dan tenaga angin dan yang biasanya berada dalam keadaan tidak stabil dan tidak berupaya bertindakbalas dengan dengan cepat dengan kehendak beban.

“Alat ini yang berfungsi sebagai pembekal tenaga kedua yang berupaya mengabungkan tenaga alternatif untuk kuasa yang lebih stabil menggunakan ultracapasitor dan bukannya bateri,” katanya.

Menurutnya, antara kebaikan yang boleh diperolehi dengan menggunakan produk berkenaan ialah kerana kuasanya yang lebih besar dengan saiznya yang kecil dan ringan.

“Berbanding dengan bateri yang menghasilkan kuasa yang sama, produk ini adalah 10 kali ganda lebih kecil dan ringan, menjadikannya lebih versatil untuk kegunaan pasaran,” katanya.

“Pada pertandingan tersebut, UTM memperolehi emas 10, perak - 25 dan gangsa – 17 mengatasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) emas - 7, perak – 12 dan gangsa - 21, Universiti Sains Malaysia (USM) emas 7, perak – 6 dan gangsa 5, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) emas – 4, perak – 11 dan gangsa – 12, Universiti Malaya (UM) emas - 4, perak – 8 dan gangsa – 18 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) emas -1, perak – 11 dan gangsa – 14.

Artikel Sebelum

Artikel Lain