suria

Peratus Mahasiswa Keluar Mengundi Pilihan Raya Kampus Perlu Ditingkatkan

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi sedang berusaha meningkatkan jumlah mahasiswa dan mahasiswi yang keluar mengundi semasa pilihan raya kampus.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pilihan raya di sesetengah kampus berjalan dengan baik, namun peratus yang keluar mengundi di berada di bawah 70 peratus, yang merupakan satu angka yang agak rendah.

"Jumlah bawah 70 peratus tidak begitu sihat bagi sebuah universiti kerana ia sepatutnya 80 peratus ke atas, jadi kami ingin tahu kenapa perkara ini berlaku di sesetengah universiti, dan bagaimana cara angka ini dapat ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin pelajar Politeknik Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia juga sebenarnya mempunyai kaitan dengan proses untuk mentransformasi bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di semua institusi pengajian tinggi awam, bertepatan dengan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) hampir setahun lalu.

Sementara itu Saifuddin berkata, pihak kementerian juga sedang mengkaji cara-cara untuk meningkatkan kualiti pemimpin mahasiswa termasuk kemungkinan menambah kualiti kursus kepimpinan untuk pemimpin mahasiswa.

"Kami dapati ada masanya mahasiswa yang sama memegang beberapa jawatan, yang pada saya mungkin lebih baik kalau dia tidak memegang sampai tiga atau empat jawatan, tetapi satu atau dua mungkin, biar yang lain memegang jawatan," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) yang baru dan meminta cadangan mereka mengenai transformasi yang akan dilakukan dan hala tuju HEP pada masa akan datang.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Saifuddin berkata, tiga perkara asas yang menjadi permintaan orang muda sekarang adalah supaya suara mereka didengari, bakat serta peranan mereka dalam komuniti diiktiraf, dan mereka mahu supaya isu berkaitan mereka diselesaikan dengan mengambil kira cara dan pendapat mereka.

Katanya, ini sesuai dengan pendekatan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri, yang mahukan supaya kerajaan bukan saja lebih dekat dengan rakyat, malah mendengar dan menerima pandangan rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain