suria

Pilihan Raya MPPUTM Catat Sejarah Sebagai Yang Teramai

SKUDAI: Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPPUTM) yang akan berlangsung Khamis bakal mencatat sejarah jumlah penyertaan paling ramai apabila 102 orang calon bertanding merebut 51 kerusi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Tajudin Ninggal berkata, sebanyak 15 kerusi kawasan umum termasuk lima di Kampus Antarabangsa Kuala Lumpur dan 36 kerusi kawasan fakulti di Kampus Johor Baharu terbuka untuk direbut.

Menurutnya, sebaik sahaja pencalonan ditutup lima calon kerusi kawasan umum di Kuala Lumpur dan tiga calon kerusi kawasan fakulti di Johor Bahru diisytiharkan menang tanpa bertanding.

“Proses penamaan calon bermula dari jam sembilan pagi hingga satu tengah hari berjalan dengan lancar dan ini membuktikan kematangan mahasiswa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warga kampus.

“Pertambahan bilangan calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini menunjukkan amalan demokrasi dan kebebasan untuk menyuarakan pendapat di kalangan mahasiswa berkembang dengan baik di UTM,” katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata, UTM telah mewujudkan 19 sudut pidato umum di seluruh kampus yang dibuka mulai jam sembilan pagi hingga 11 malam bagi membantu calon berkempen.

“Setiap calon perlu memohon dan mengikut giliran untuk menggunakan sudut pidato yang dilengkapi dengan kemudahan pembesar suara bagi memberi peluang kepada mereka berkempen untuk meraih undi.

“Oleh kerana bilangan calon pada pemilihan kali ini ramai, setiap seorang hanya dibenar berucap selama 10 minit dan mereka akan dipantau oleh pegawai Pejabat Hal ehwal Pelajar untuk memastikan proses berkempen berjalan lancar,” katanya lagi.

Mohd Tajudin menambah, pihaknya telah menjemput dan memberi taklimat kepada pegawai Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk membuat pemantauan proses pengundian di 12 buah lokasi.

Beliau menasihatkan semua mahasiswa supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing keluar undi bagi memilih perwakilan yang dapat menjadi penghubung antara mahasiswa dan pentadbiran universiti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain