suria

Kuis Dan Kitab Meterai Kerjasama Dalam Bidang Akademik Serta Francais

KUALA LUMPUR: Permeteraian memorandum persefahaman (MoU)dalam bidang akademik dan francais antara Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) akan membolehkan pelajar Kitab menjalankan program-program pengajian yang ditawarkan Kuis.

Kuis dalam satu kenyataan hari ini berkata MoU itu yang ditandatangani pada satu majlis baru-baru ini akan membolehkan pelajar lepasan diploma Kitab untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang yang ditawarkan Kuis melalui pemindahan jam kredit.

"Selain itu Kuis juga turut menawarkan program usahasama francais dengan Kitab bagi program-program peringkat ijazah sarjana muda untuk dilaksanakan di Pulau Pinang," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Reaktor Kuis Prof Datuk Mohd Adanan Isman menyifatkan kerjasama itu dilaksanakan kerana kedua-dua pihak berasa bertanggungjawab untuk memajukan agenda pendidikan, selain bagi membolehkan kakitangan akademik untuk menjalankan penyelidikan akademik bersama.

Kitab adalah sebuah institusi pendidikan yang menjalankan program-program pengajian tinggi di Pulau Pinang manakala Kuis merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik Majlis Agama Islam Selangor yang menawarkan pelbagai program pengajian peringkat diploma, sarjana muda dan juga sarjana.

Antara program ijazah yang ditawarkan adalah Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Muamalah), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan E-Dagang, Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua. -BERNAMA

Artikel Lain