suria

UniRazak Mengorak Langkah Kembangkan Modal Insan

KUALA LUMPUR: Universiti Tun Abdul Razak, atau Unirazak, berhasrat melahirkan modal insan sebagai pemimpin dan usahawan berkualiti dengan pembentukan tiga pusat pengajian baru.

Presiden dan Naib Canselor Unirazak Prof Datuk Md. Zabid Abdul Rashid berkata Pusat Pengajian Perniagaan dan Keusahawanan Bank Rakyat, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, dan Pusat Pengajian Kerajaan Razak telahpun mula membuat pengambilan pada September tahun lepas.

"Kita harap dapat penuhi keperluan modal insan yang berkualiti dan mempunyai kebolehan yang diperlukan untuk bangunkan ekonomi negara kita ke tahap lebih tinggi," kata beliau ketika ditemubual Bernama hari ini.

Prof Md. Zabid berkata bidang kepimpinan misalnya masih terhad kerana ramai tidak memiliki kemahiran dan kepakaran pengurusan tertinggi yang membolehkan mereka menyandang jawatan di peringkat perniagaan secara global.

"Itu yang kita dapati, kita perlukan pemimpin pengurusan di sektor awam untuk pastikan bahawa perkhidmatan awam dapat memberi perkhidmatan cekap dan berkesan serta yang dikehendaki masyarakat," katanya.

Katanya program keusahawanan pula dirasakan penting kerana ia adalah asas untuk memperkasakan pertumbuhan ekonomi.

"Ia memainkan peranan besar yang menyumbang kepada pendapatan dalam negara kasar dan juga menjadi landasan bagi pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Unirazak yang ditubuhkan pada 1997 merupakan universiti swasta pertama dan menawarkan kira-kira 40 program ijazah dan lepasan ijazah termasuk dalam bidang pentadbiran perniagaan dan teknologi maklumat.

Mendapat jolokan "Boutique University" kerana menekankan aspek jumlah pelajar yang kecil dan berkualiti tinggi, Unirazak diberi nama bersempena Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dilancarkan secara rasminya oleh Najib pada 21 Disember 1998, yang ketika itu Menteri Pelajaran, Unirazak kini mempunyai dua kampus utama iaitu Kampus Pintar di Kelana Jaya, Petaling Jaya, dan Kampus Razak di Capital Square, Kuala Lumpur. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain