suria

WAWANCARA KHAS DENGAN VC BARU UITM

SEBAGAI sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terbesar di Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini akan terus memperkasakan graduannya supaya menjadi pilihan utama dalam sektor industri.

Bakal Graduan UiTM bukan hanya diterapkan dengan kemahiran dalam bidang pekerjaan, malah turut menguasai tiga elemen utama iaitu, keusahawanan, teknologi dan inovasi sebagai nilai tambah sebelum memasuki alam pekerjaan hingga mampu menjadi kapten dalam industri.

Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dilantik menjadi Naib Canselor UiTM yang baru berkuat kuasa 1 Januari menggantikan Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember lalu.

Menurut beliau, bagi memperkasakan UiTM, sebanyak 200 program baru bakal ditawarkan bagi merealisasikan matlamat melahirkan graduan yang versatil dan kompetetif.

Ikuti wawancara Pengarang Bersekutu mStar Online, Rozaid A. Rahman dan wartawan, Ariffuddin Ishak, bersama beliau bagi mengupas mengenai pembaharuan yang bakal dilakukan oleh universiti berkenaan.

mStar: Apakah penilaian awal Datuk mengenai UiTM pada ketika ini?

Sahol Hamid: UiTM di bawah Tan Sri Ibrahim Abu Shah telah maju dengan baik dan gunakan apa yang dilakukan oleh beliau sebagai satu landasan untuk membaiki UiTM ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya juga anak UiTM, jadi peralihan kuasa ini adalah daripada seorang abang kepada seorang adik. Tan Sri dan saya sama-sama bekas pelajar UiTM, malah sama-sama bekerja di sini. Peralihan ini seperti dalam satu keluarga.

Saya cuba menjalankan tugas saya dengan baik supaya nama UiTM akan harum.

mStar: Apa pendekatan yang bakal Datuk gunakan bagi mencapai matlamat itu?

Sahol Hamid: Dari segi kaedah pengurusan, konsep saya ialah bekerja secara berkumpulan, kita akan bekerjasama dengan semua pegawai di setiap peringkat untuk membawa pembaharuan. Yang pentingnya bila saya jumpa orang-orang atasan di kementerian, maklum balas yang saya dapat ialah mereka mahu melihat kepada perubahan.

Saya akan bawa perubahan yang baru supaya UiTM akan diletak di peringkat yang lebih tinggi.

mStar: Antara perubahan yang akan diperkenalkan?

Sahol Hamid: Kalau kita lihat kebanyakkan universiti, akan mengeluarkan graduan yang akan bekerja di sektor swasta dan juga kerajaan masih mereka dianggap sebagai pekerja.

Jadi konsep baru UiTM adalah untuk melahirkan pekerja, maknanya untuk melahirkan kapten dalam industri. Jadi kita akan mengubah kurikulum untuk melahirkan usahawan inovatif.

Dengan adanya konsep-konsep sebegini, kita mahukan pelajar UiTM yang bakal menjadi graduan yang dilengkapi dengan ciri-ciri ini supaya mereka dipilih sebagai pilihan utama untuk bekerja.

Dan daripada golongan ini, akan ada yang mampu naik ke peringkat yang lebih tinggi, itu yang kita katakan sebagai kapten dalam industri. Ini adalah satu pendekatan baru yang akan kita bawa di UiTM.

Selain itu, kita juga akan mewujudkan beberapa program-program baru yang mungkin bercorak ijazah berkembar contohnya perakaunan dan undang-undang adalah program yang tak pernah ditawarkan sebelum ini.

Mungkin juga program kewangan dan undang-undang, ataupun ekonomi dan undang-undang atau ada banyak kombinasi yang ada... ini adalah pembaharuan baru.

Kita juga akan memperkenalkan program baru seperti detektif perubatan... saya ada 200 program baru yang boleh kita tawarkan.

Tujuan saya ialah untuk letakkan pelajar UiTM sebagai pilihan pertama majikan. Perubahan perlu berlaku.

Perubahan ini bukan sahaja di kalangan, ia juga perlu berlaku di kalangan pensyarah. Saya akan usahakan supaya pensyarah-pensyarah UiTM diberi latihan industri supaya mereka mendapat lebih pengalaman. Saya akan bawa industri kepada UiTM dan banyak kerjasama akan diadakan antara UiTM dan industri.

Dengan adanya penglibatan industri dengan UiTM, universiti ini akan menjadi tempat yang dituju oleh majikan untuk mendapatkan graduan-graduan yang mahir bukan sahaja dalam bidang akademik tapi juga dari segi cara berkerja.

mStar: Bagaimana penerimaan para pensyarah apabila Datuk mengumumkan cadangan untuk membuka 200 program baru di UiTM?

Sahol Hamid: Setakat ini bila saya lontarkan cadangan ini kepada jawatankuasa eksekutif, mereka kata ia adalah sesuatu yang drastik. Tapi saya kata bukan drastik, tapi deras sikit. Kita memang terpaksa deras sikit untuk kebaikan negara dan majukan bangsa sendiri.

Kita perlu ada perubahan yang drastik. Kalau kita masih dengan program-program lama, dalam masa beberapa tahun akan datang, dunia akan berubah dan matlamat negara tidak akan tercapai.

Bagi mencapai matlamat negara, anak-anak Melayu dan bumiputera mesti ke depan.

mStar: Boleh Datuk jelaskan tentang program detektif perubatan? Adakah ia sama dengan sains forensik?

Sahol Hamid: Selama ini memang dah ada pengajian dalam bidang sains forensik di UiTM, jadi sekarang kita akan pergi lebih jauh dari itu.

Program detektif perubatan akan lebih menjurus kepada bidang yang lebih khusus ke arah perubatan.

Program-program ini akan ditawarkan di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

mStar: Bila program-program ini akan mula ditawarkan dan adakah UiTM sudah bersedia dari segi fasilitinya dan tenaga pengajar?

Sahol Hamid: Kita akan mula tawarkan pada pengambilan Jun ini, tenaga pengajar kita boleh mencari pakar daripada luar negara. Kita sudah bersedia kerana pada tahun pertama pelajar akan belajar subjek sains tulen dahulu, jadi sudah pasti kita ada masa untuk mendapatkan tenaga pengajar.

Begitu juga dengan program ijazah berkembar, kita mampu menawarkan pada pengambilan Jun ini. Ia mudah sahaja, contohnya program arkitek, kurikulum asalnya memang kita, apa yang perlu dilakukan ialah kita cantumkan sahaja pada tahun ketiga atau keempat pelan pengajian.

Konsepnya ialah kita masukkan program kedua itu sebagai elektif. Saya nak bina satu masyarakat yang diterima dengan mudah oleh industri.

Selain itu tambahan masa pengajian adalah perlu, mungkin program asalnya ialah empat tahun, tapi dalam masa lima tahun pelajar itu akan tamatkan program keduanya serentak.

Jadi dengan cara ini kita letakkan pelajar UiTM ke satu tapak di depan.

mStar: Bilakah sasaran Datuk untuk mendekatkan UiTM dengan industri?

Sahol Hamid: Setakat ini bukan semua pensyarah ada pengalaman industri, boleh dikatakan bilangannya masih sedikit. Insya-Allah mulai hari ini (Selasa), saya telah memberi arahan dalam mesyuarat untuk mulakan program latihan industri iaitu bukan sahaja pelajar, malah juga di kalangan pensyarah.

Mungkin juga bagi sistem kenaikan pangkat para pensyarah, pengalaman dalam industri akan diambil kira.

Bagi pensyarah yang berminat dalam bidang penyelidikan, mereka akan pilih industri yang bersesuaian dengan kajian mereka.

Dalam bidang kejuruteraan contohya, saya rasa susah untuk saya mengajar pelajar-pelajar saya untuk menjadi jurutera jika saya tak ada pengalaman dalam bidang industri. Sama juga dalam bidang perakaunan, kalau belajar berdasarkan buku sahaja, ia tidak cukup.

mStar: Mengenai program ijazah berkembar, bila ia akan dilaksanakan?

Sahol Hamid: Saya sudah mengeluarkan arahan kepada Timbalan Naib Canselor Akademik supaya perkara ini dimulakan dengan segera dan ia akan dimulakan dari sekarang. Kita tak boleh tunggu lagi, ia perlu dijalankan dengan secepat mungkin.

mStar: Sebelum ini Datuk merupakan Pengarah Pusat Pengurusan Program di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bagaimana Datuk boleh gunakan pengalaman yang ada untuk pastikan UiTM mencapai sasaran yang diinginkan oleh kementerian?

Sahol Hamid: Tugas saya dua tahun di KPT adalah untuk melihat perkembangan setiap universiti. Jadi saya dapat peluang melihat tiap-tiap universiti dari segi kekuatannya. Saya dapat peluang berbincang dengan semua Naib Canselor dari segi pelan strategi dan sebagainya. Jadi pengalaman saya ialah berdasarkan pengalaman 20 universiti.

Saya boleh aplikasikan pengalaman saya ini untuk memajukan UiTM.

mStar: Datuk mempunyai pengalaman luas dan jalinan kerjasama yang baik dengan University of Stuttgart, Germany, bagaimana Datuk boleh gunakan pengalaman itu untuk mengantarabangsakan UiTM?

Sahol Hamid: Masa di KPT saya dah mulakan, apabila saya sendiri bawa Universiti Sains Malaysia (USM) apabila mereka dipilih untuk menjadi universiti Apex ke sana. Saya perkenalkan Naib Canselor USM dengan universiti. Mereka mendapat pengalaman tentang bagaimana nak capai tahap universiti terbaik seperti itu.

Saya juga bawa Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk adakan kerjasama, jadikan kalau saya boleh buat untuk universiti lain, untuk UiTM lebih dari itu saya akan buat.

Hari ini adalah hari pertama saya di UiTM, sudah ada lima orang profesor dari University of Stuttgart sudah ada di sini untuk adakan kerjasama. Jadi saya rasa mudah bagi saya untuk bawa pihak-pihak di peringkat antarabangsa kepada UiTM.

mStar: Kontrak Datuk sebagai Naib Canselor ialah selama dua tahun, mungkin Datuk ada meletakkan tempoh tertentu untuk menilai perkembangan pencapaian Datuk sendiri?

Sahol Hamid: Selepas berbincang dengan menteri, penilaian saya ialah setiap enam bulan. Dan setiap enam bulan juga saya ada letakkan sasaran tertentu untuk dicapai.

Saya sediakan senarai perkara-perkara yang perlu dilakukan. Dengan adanya senarai semakan itu, dan sasaran juga ditetapkan, insya-Allah saya akan kejar sampai ia berjaya.

Dalam dua tahun, insya-Allah apa yang perlu dicapai akan tercapai.

mStar: Datuk juga merupakan tulang belakang kepada program universiti Apex, adakah Datuk mempunyai hasrat untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti Apex?

Sahol Hamid: Insya-Allah, kalau UiTM boleh berkerja kuat dan ada perancangan, UiTM pun boleh capai tahap itu. Mungkin dalam tempoh lima tahun atau mungkin juga sepuluh tahun... kemungkinan itu ada dan kriteria untuk mencapainya memang saya ada.

Itu akan menjadi objektif saya membawa UiTM ke tahap kelas dunia. Bila kita dah capai carta 100 dalam senarai universiti terbaik dunia, maka tercapailah tahap universiti Apex.

mStar: Adakah selepas ini UiTM akan membuka peluang kepada kaum bukan bumiputera untuk melanjutan pengajian di universiti ini?

Sahol Hamid: Perkara itu merupakan satu polisi yang bukan berada di bawah tangan saya. Setakat ini polisinya hanya untuk kaum Melayu dan bumiputera... dan bagi saya elok ia dikekalkan begitu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Tumpuan Utama KPT Tahun Ini

Artikel Lain