suria

USM Dan MASCUF Jalin Kerjasama Akademik

PULAU PINANG: Universiti Sains Malaysia (USM) dan Mindanao Association of State Colleges and Universities Inc (MASCUF) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertukaran petugas serta pelajar.

Timbalan Naib Canselor USM Prof Dr Ahmad Shukri Mustafa Kamal berkata kerjasama itu bertujuan menggalakkan pembelajaran silang budaya dan perkongsian maklumat selain amalan terbaik ke arah kelestarian pendidikan, pembangunan serta keamanan.

"MoU itu turut menandakan permulaan perkongsian pintar dalam pembinaan perdamaian antara universiti dalam penyelidikan mereka berhubung penyelesaian masalah masyarakat secara umum dan lebih khususnya masalah di Mindanao," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu di sini.

USM diwakili oleh Ahmad Shukri manakala MASCUF pula diwakili oleh Presidennya, Dr Victor Barroso.

MASCUF mewakili 30 universiti dan kolej negara di Mindanao.

Sementara itu, Koordinator Unit Penyelidikan dan Pendidikan untuk Perdamaian, USM, Prof Madya Dr Kamarulzaman Askandar berkata MoU itu memberi peluang kepada USM memainkan peranan lebih penting membantu proses perdamaian di Mindanao melalui kerjasama pendidikan.

"MoU ini memberi rangsangan untuk USM membantu memberi kesedaran melalui pendidikan kepada pelajar kolej dan universiti terlibat tentang pentingnya perdamaian dan mencari penyelesaian terhadap konflik di Mindanao yang telah berlarutan lebih 40 tahun," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain