Kementerian Cadang IPTS Wujud Politeknik

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihak swasta boleh menubuhkan politeknik swasta mereka sendiri bagi mengalakkan lebih ramai pelajar asing melanjutkan pelajaran di negara ini.

Beliau berkata, usaha tersebut akan dapat membangunkan sektor pendidikan tinggi di negara ini. “Setiap tahun permohonan yang diterima untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik adalah 120,000 tetapi kita hanya ada 70,000 tempat sahaja yang disediakan dan hanya dapat menampung pelajar dalam negara sahaja.

“Kita memang tak cukup politeknik. Ini bermakna pihak swasta boleh menubuhkan politeknik swasta dengan kerjasama daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan anugerah Biasiswa Tabung Pendidikan Star 2010 kepada 46 IPTS di sini Ahad.

Biasiswa bernilai RM13.8 juta itu dianugerahkan kepada 46 IPTS tempatan dan luar negara dan antara penerimanya ialah Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing, Kolej Otomotif, Universiti Nottingham (Kampus Malaysia) dan Universiti Kolej Kejururawatan Antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, sektor pengajian tinggi adalah sebuah industri yang boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing pada masa akan datang.

“Kita punya potensi utuk berkembang dalam bidang pengajian tinggi dan Malaysia akan menjadi pusat pengajian tinggi serantau. Jadi, kita berharap pihak swasta akan terus melabur dalam bidang ini,” ujarnya.

Menurutnya, lebih membanggakan kursus kejuruteraan yang ditawarkan di IPTS di negara ini telah diiktiraf oleh Universiti Washington sekaligus menunjukkan ia diiktiraf di seluruh dunia.

Oleh itu beliau berharap pihak IPTS akan menawarkan lebih banyak kursus kejuruteraan memandangkan permintaan yang tinggi diterima daripada pelajar luar negara.

“Ramai pelajar luar datang ke Malaysia untuk mengambil kursus kejuruteraan. Namun isunya ialah IPTS di sini tidak menyediakan banyak kursus-kursus peringkat tinggi sebegini.

“IPTS di sini banyak menawarkan kursus mudah seperti Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Sains Sosial yang kurang mendapat permintaan daripada pelajar asing. Oleh itu, perkara itu perlu segera diatasi,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak IPTS perlu berani menanggung risiko dan kreatif dalam menawarkan kursus mereka agar ia dapat mengurangkan jurang pasaran kerja yang wujud pada hari ini.

“Mereka boleh bekerjasama dengan pihak-pihak lain, antaranya ialah membuat program usahasama dengan IPTA dan merangka strategi pemasaran di luar negara untuk memperkenalkan kursus yang ditawarkan.

Dalam perkembangan lain, mengenai isu guru ijazah pendidikan yang gagal mendapat penempatan mengajar, Mohamed Khaled berkata ia dapat diselesaikan jika ada pengunjuran yang tepat antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Isu ini boleh selesai jika ada kesefahaman antara dua kementerian ini di mana jika Kementerian Pelajaran bagi unjuran yang tepat kepada pihak kami untuk keluarkan graduan yang cukup, kami beri jaminan tidak akan keluarkan graduan dalam bidang pendidikan secara berlebihan.

“Jadi diharapkan kedua-dua pihak dapat mantapkan lagi unjuran ini supaya masalah ini dapat diselesaikan di antara kementerian, tidak melalui media massa,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan