"Jemput Makan" hidang lebih 400 menu - Jamu Selera | mStar

"Jemput Makan" hidang lebih 400 menu

Diterbitkan: Sabtu, 9 Jun 2018 11:01 AM

(Ubah saiz teks)

MENERUSI tema "Jemput Makan", bufet Ramadan di The Resort Cafe, Sunway Resort Hotel and Spa, Petaling Jaya tampil dengan tawaran lebih 400 juadah.

Dengan konsep bazar, mereka menghimpunkan pelbagai makanan yang akan membuat anda pening untuk memilih.

Lebih 40 orang chef bertungkus lumus menyediakan bukan sahaja hidangan tempatan malah menu-menu khas dari Timur Tengah.

Untuk pembuka selera, terdapat kerabu pucuk paku, kerabu jantung pisang, kerabu ulam raja, pasembur, gado-gado, miang kham, som tam, pecal jawa dan rojak buah.

Kerabu yang ditawarkan sangat segar dan beraroma kerana ia dihasilkan dengan daun limau, serai, kerisik, daun kesum dan udang kering.

Bagi penggemar nasi, terdapat beberapa seleksi untuk dipilih.

Antaranya bamboo briyani, nasi bukhari, nasi hujan panas, nasi briyani gum, nasi tomato, nasi mandi dan egyptian kushairi.

Nasi briyani di situ dimasak menggunakan arang untuk menghasilkan aroma salai dan boleh dinikmati dengan daging dan sayur.

Ia dimasukkan ke dalam batang buluh yang dilapisi daun pisang sebelum dihidangkan panas-panas.

Selain itu, anda juga boleh menikmati nasi dengan lauk pauk seperti gulai kawah, gulai utara ikan bendi, gulai tulang rawan, gulai ketam dengan nenas, gulai ayam lengkuas dan gulai ayam pedas.

Hidangan popular Melaka dan Johor seperti ekor asam pedas turut ditawarkan buat pengunjung.

Anda juga boleh menikmati mee rojak, mee bandung Sumatra, laksa lemak nyonya, laksa Johor, mee udang dan mee wonton kering.

Antara menu yang turut menjadi rebutan ramai ialah sup gearbox yang dimasak lapan jam atas api perlahan.



Keenakan sup gerabox menjadikan ia antara hidangan paling laris dalam bufet berkenaan.

Di Golek Station, anda juga berpeluang merasai keenakan kambing golek yang diperap menggunakan 24 rempah dan herba.

Yang pasti, rasanya cukup menggoda deria rasa.

Malah, ia dipanggang selama empat jam bagi mengekalkan kelembapan daging.

Hidangan ringan seperti goreng pisang, keropok lekor dan cempedak goreng juga ada.

Harga bufet ialah RM178 untuk dewasa, RM108 (warga emas) dan RM89 (kanak-kanak).

Untuk tempahan, hubungi 03-7495 2009/ 03-7492 8000 atau lawati www.sunwayhotels.com.

Tags / Kata Kunci: The Resort Cafe
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan