suria

Kacang pool, sup ekor bakar juadah menarik di Hotel Seri Pacific

JUADAH seperti kacang pool dari Johor serta nasi kandar Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada pilihan menu yang ditawarkan menerusi bufet Santapan Buka Puasa di Zende Restaurant, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Pasukan kulinari yang diketuai chef Haji Saad komited dalam menghasilkan makanan dengan rasa asli dengan memantau setiap proses penyediaan dari awal sehingga akhir.

Mereka menyarankan agar pengunjung memulakan santapan dengan hidangan ringan seperti kerabu dan ulam-ulaman kampung.

Kacang pool dan sup ekor bakar merupakan dua menu yang baru diperkenalkan di restoran itu pada tahun ini.

Untuk menambah rasa kacang pool, pengunjung boleh menikmatinya bersama telur separuh masak.

Untuk sup ekor bakar, daging dipanggang terlebih dahulu sebelum dihidangkan bersama sup.

Bagi penggemar masakan Pulau Pinang pula, nasi kandar dan kuey teow juga patut dicuba.

Anda boleh menikmati keenakan nasi kandar dengan lauk seperti kari kepala ikan, daging masak hitam, acar mentah, ayam dan ikan goreng serta sayur-sayuran.

Asam pedas ikan pari dan sambal tumis udang petai juga boleh dinikmati dengan briyani gam yang ditawarkan menerusi bufet itu.

Antara hidangan lain yang ada ialah sambal ikan bilis, apam balik, pengat ubi, kacang hijau dan cendol durian.

Pencuci mulut barat seperti puding roti, kek keju dan creme brulee juga turut dihidangkan kepada pengunjung.

Promosi Santapan Buka Puasa akan berakhir pada 14 Jun dengan harga RM120 untuk dewasa dan RM60 (kanak-kanak).

Ia terletak di tingkat tiga Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Solok ikan

Artikel Berikut

Keow teow sup siam

Artikel Lain