suria

Juadah tradisi Melaka tarikan Hotel Royal KL

Ani Mayuni bersama Kelly Azman bersedia untuk menghiburkan pengunjung bufet Ramadan Hotel Royal KL sepanjang bulan puasa ini.

SELAIN tarikan sejarah, Melaka juga popular dengan makanan tradisi yang banyak dipengaruhi unsur Baba Nyonya dan Portugis.

Sehubungan itu, Hotel Royal Kuala Lumpur menjadikan negeri itu sebagai tema bufet Ramadan tahun ini.

Berbeza seperti tahun sebelumnya yang mengangkat hidangan Pantai Timur, penggemar masakan Melaka seharusnya tidak melepaskan peluang ini.

Menurut Chef Mohd Hafif Mohd Saleh, pihaknya sendiri turun ke negeri bersejarah itu bagi mendalami masakan Melaka asli.

"Kami ke sana dan membuat tinjauan di beberapa kedai bagi mencari rasa sebenar hidangan Melaka.

"Selain masakan Baba Nyonya, makanan di negeri itu juga banyak dipengaruhi unsur komuniti Portugis hasil penjajahan suatu ketika dahulu.

"Jadi, semua pengaruh dan unsur-unsur ini menjadikan hidangan Melaka sangat istimewa," ujar Hafif kepada mStar Online.

Antara hidangan yang wajib dicuba di Hotel Royal Kuala Lumpur ialah asam pedas Nyonya Portugis dan ikan bakar Portugis.

Dua hidangan ini sudah tentu sesuai disajikan dengan nasi panas dan pastinya membuat anda tidak sabar untuk berbuka puasa.

Selain nasi putih biasa, anda juga boleh memilih untuk menikmatinya dengan nasi hujan panas.

Anda juga patut mencuba ekor sapi masak asam pedas dengan bendi, sambal tumis sotong, masak lemak pucuk paku ikan bilis dan macam-macam lagi.

Hidangan di sini mungkin tidak sebanyak juadah yang ditawarkan di hotel lain, namun ia menjanjikan kepuasan sebenar untuk anda khususnya bagi penggemar makanan tradisi Melaka.

Tidak fokus pada hidangan Melaka sahaja, mereka turut menawarkan mee kari, ketupat, daging kambing bakar, ikan bakar dan macam-macam lagi.

Malah, Hotel Royal KL turut membawakan kuih keria 'viral' khas untuk anda yang menjamu selera di sana sepanjang Ramadan ini.

Iyalah, sebut sahaja Melaka, anda pasti terbayangkan kuih keria 'viral' yang sering menjadi sebutan ramai tu.

Selain kuih keria, anda juga boleh mencuba pelbagai hidangan pencuci mulut yang sedap di sini.

Selain makanan yang sedap, Hotel Royal KL turut menampilkan penyanyi Ani Mayuni dan Kelly Azman sebagai penghibur sepanjang bulan Ramadan ini.

Menurut Ani, tahun ini merupakan tahun kelima dia bekerjasama dengan hotel itu setiap kali tibanya Ramadan.

"Bila sebut Hotel Royal Kuala Lumpur sahaja, ia sudah sinonim dengan saya dan Kelly Azman.

"Untuk persembahan, memang tak ada dangdut la sebab bulan puasa, jadi saya akan hiburkan mereka dengan lagu-lagu tradisional dan joget," ujarnya berseloroh.

Harga buffet di Hotel Royal KL bermula pada RM85 untuk dewasa dan RM42.50 untuk kanak-kanak dan warga emas. 

Tiada bayaran dikenakan buat kanak-kanak bawah enam tahun.

Untuk tempahan atau sebarang pertanyaan, hubungi 603 2148 68888 (sambungan 2887/2855).
Hotel Royal, Hafif

Artikel Lain